Eropah

Rusia bersedia untuk serangan penuh ke atas Ukraine

Oleh Agensi

Kyiv: Isyarat daripada Rusia menunjukkan Moscow sedang bersedia untuk serangan sepenuhnya ke atas Ukraine.

Demikian kata Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Jens Stoltenberg pada Sabtu yang mengulangi amaran Amerika Syarikat (AS) berhubung pencerobohan.

"Setiap petunjuk menunjukkan bahawa Rusia sedang merancang serangan penuh terhadap Ukraine,"

"Kami semua bersetuju bahawa risiko serangan adalah sangat tinggi," kata Stoltenberg memberitahu penyiar Jerman ARD di luar Persidangan Keselamatan Munich seperti dilaporkan Reuters.

Dalam pada itu, Nato dikatakan sedang memindahkan kakitangan dari sini ke Lviv yang terletak di barat negara, dan ke ibu negara Belgium Brussels untuk keselamatan mereka, kata seorang pegawai perikatan itu pada Sabtu.

"Keselamatan kakitangan kami adalah yang paling utama jadi mereka dipindahkan ke Lviv dan Brussels. Pejabat Nato di Ukraine kekal beroperasi," kata pegawai itu kepada AFP.

Beberapa negara Barat turut memindahkan diplomat dari sini ke Lviv, yang terletak berhampiran sempadan dengan Poland dan menjangkakan tindakan ketenteraan Rusia.

Brussels menjadi tuan rumah ibu pejabat Nato.

AS mendominasi Nato dan Presiden AS Joe Biden pada Jumaat berkata, beliau yakin Rusia akan menyerang Ukraine dalam tempoh seminggu, dan tenteranya menyasarkan bandar ini.

Ukraine bukan ahli Nato, dan perikatan itu tidak mempunyai sebarang kuasa di sana.

Bagaimanapun, dua pejabat dikekalkan di sini, sejak akhir tahun 90-an iaitu Pejabat Perhubungan Nato dan Pusat Maklumat dan Dokumentasi Nato.

Tugas pejabat perhubungan adalah untuk mengekalkan dialog antara Nato dan kerajaan Ukraine sambil menggalakkan transformasi demokratik sektor pertahanan dan keselamatan Ukraine.

Menurut laman web Nato, ia terdiri daripada ketua awam yang mengetuai pasukan campuran anggota tentera dan awam Nato.

Kali terakhir laman web itu dikemas kini adalah pada 2016 dengan memaparkan terdapat sejumlah 16 kakitangan.

Bilangan kakitangan Pusat Maklumat dan Dokumentasi Nato tidak didedahkan.

Tugasnya adalah untuk memberitahu penduduk Ukraine mengenai Nato dan menyokong institusi Ukraine dalam komunikasi mereka.

Disiarkan pada: February 20, 2022 @ 9:55am
d