Eropah

Pemimpin dunia umum sekatan terhadap Rusia

Oleh AFP

Washington: Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mendorong gelombang sekatan ketika pemimpin global berusaha untuk meningkatkan tekanan ke atas Kremlin.

Ketika tentera Rusia menghampiri Kyiv dan pelarian Ukraine memasuki negara jiran, berikut adalah beberapa sekatan yang dikenakan ke atas Moscow setakat ini.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melanjutkan langkah negaranya terhadap Rusia untuk memasukkan sekatan ke atas Presiden Vladimir Putin dan Menteri Luarnya Sergei Lavrov, dalam sekatan perjalanan untuk kedua-dua pemimpin itu.

Biden adalah pemimpin dunia pertama yang mengumumkan sekatan, beberapa jam selepas Putin mengisytiharkan 'operasi ketenteraan' ke atas Ukraine.

Sekatan pertama membabitkan empat bank Rusia, memotong lebih separuh daripada import teknologi Rusia, dan menyasarkan beberapa oligarki negara.

Gergasi tenaga Gazprom dan 12 syarikat utama lain akan dihalang daripada mendapatkan modal dalam pasaran kewangan Barat.

Eksport teknologi pertahanan dan aeronautik ke Rusia juga dihadkan dan 24 individu serta organisasi Belarus yang dituduh menyokong dan membantu pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine akan berdepan hukuman.

Kesatuan Eropah (EU)

Kesatuan Eropah (EU) turut menambah Putin dan Lavrov ke dalam senarai sekatannya juga semalam.

Langkah itu dipersetujui dalam mesyuarat menteri luar EU di Brussels yang diadakan untuk menerima pakai pakej sekatan yang luas ke atas Rusia oleh ketua dasar luar blok itu Josep Borrell disebut sebagai "paling keras" yang pernah dibuat oleh kumpulan itu.

Pakej itu diluluskan oleh pemimpin EU dalam sidang kemuncak sebelum ini, menjejaskan sektor kewangan, tenaga dan pengangkutan Rusia serta mengekang keupayaan rakyat Rusia menyimpan sejumlah besar wang tunai di bank EU.

Sebahagian rakyat Rusia diletakkan dalam senarai individu yang disekat EU daripada memasuki 27 negara blok itu dan aset di EU mereka, disekat.

United Kingdom (UK)

Kerajaan UK juga mengarahkan semua aset Putin dan Lavrov dibekukan dan mengharamkan jet oligarki dari ruang udaranya semalam.

Perbendaharaan mengeluarkan notis sekatan kewangan terhadap dua lelaki itu, menambahkan mereka ke senarai oligarki Rusia yang membekukan harta dan akaun bank mereka di UK.

Sebelum ini, Britain membekukan aset bank Rusia VTB dan pengeluar senjata Rostec, dan juga mengharamkan syarikat penerbangan utama Rusia Aeroflot daripada ruang udaranya selain menyasarkan lima lagi oligarki yang rapat dengan Putin

Kanada

Perdana Menteri Justin Trudeau mengejutkan pemimpin dunia yang lain semalam apabila turut mengenakan sekatan ke atas Putin dan Lavrov.

Trudeau juga memberi isyarat "sokongan Kanada untuk mengeluarkan Rusia daripada sistem pembayaran Swift, bahagian penting dalam sistem perbankan global."

Beliau berkata Belarus juga akan dikenakan sekatan "kerana bersubahat dengan pencerobohan Presiden Putin ke atas negara yang bebas dan berdaulat."

Sekatan baharu yang bertujuan untuk menghukum Putin dan Lavrov akan menyasarkan hampir 60 individu dan entiti, termasuk ahli elit, pegawai keselamatan, bank, dan firma keselamatan swasta Rusia iaitu kumpulan Wagner.

Permit eksport barangan bernilai AS$550 juta dalam bidang aeroangkasa, teknologi maklumat dan perlombongan juga sudah dibatalkan.

Asia Pasifik

Reaksi di seluruh Asia-Pasifik tidak begitu bersatu.

India yang mempunyai hubungan rapat dengan Moscow dan juga pembeli utama senjata Rusia, setakat ini mengelak daripada menyertai sekatan itu.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengkritik percubaan Putin untuk "mengubah status quo dengan kekerasan," dan mengenakan langkah yang menyasarkan eksport semikonduktor yang kini mengalami kekurangan global dan institusi kewangan.

Taiwan mengumumkan akan menyertai sekatan kerana tindakan Kremlin menimbulkan "ancaman paling serius... kepada perintah antarabangsa berasaskan peraturan."

Di Australia, Perdana Menteri Scott Morrison melancarkan sekatan "fasa kedua" yang menyasarkan 25 individu, empat institusi kewangan, dan entiti yang terbabit dalam membangun dan menjual peralatan ketenteraan.

Satu lagi gelombang akan dikenakan sebaik sahaja "mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan mengerikan ini" dikenal pasti, katanya, yang boleh termasuk menyasarkan ahli parlimen Rusia.

Disiarkan pada: February 26, 2022 @ 9:36am
d