Eropah

Semua perjanjian dengan 'negara tidak mesra' perlu kelulusan

Oleh Reuters

Moscow: Semua perjanjian korporat dengan syarikat dan individu dari 'negara tidak mesra' dengan Rusia kini perlu diluluskan oleh suruhanjaya kerajaan, menurut resolusi kerajaan negara itu.

Kerajaan berkata, ia meluluskan senarai negara dan wilayah yang mengambil ;tindakan tidak mesra' terhadap syarikat dan rakyatnya, susulan sekatan ekonomi yang teruk berhubung konflik Ukraine, lapor Reuters.

Senarai itu susulan arahan presiden pada Sabtu lalu yang membenarkan kerajaan, syarikat dan rakyat Rusia membayar sementara hutang mata wang asing dengan 'negara tidak mesra'.

Kenyataan kerajaan menunjukkan senarai negara termasuk Amerika Syarikat, negara anggota Kesatuan Eropah, United Kingdom (UK), Jepun, Kanada, Norway, Singapura, Korea Selatan, Switzerland dan Ukraine.

Untuk membuat pembayaran itu, kerajaan berkata, penghutang harus membuka jenis akaun khas dengan bank Rusia dan memindahkan ke dalamnya nilai yang setara dengan jumlah mata wang asing yang terhutang mengikut kadar pertukaran rasmi bank pusat pada hari pembayaran.

Aturan sementara untuk membayar hutang asing ini terpakai untuk pembayaran melebihi AS$99,000 (kira-kira RM414,321) sebulan.

Perang dua negara itu 24 Februari lalu mendorong gelombang sekatan antarabangsa ketika pemimpin global berusaha untuk meningkatkan tekanan ke atas Kremlin.

Ia termasuklah sekatan ke atas Presiden Vladimir Putin dan Menteri Luarnya Sergei Lavrov, menerusi sekatan perjalanan untuk kedua-dua pemimpin itu ke Amerika Syarikat dan Kanada.

Selain itu, permit eksport barangan bernilai AS$550 juta (kira-kira RM2.3 bilion) dalam bidang aeroangkasa, teknologi maklumat dan perlombongan juga sudah dibatalkan.

UK juga tidak terkecuali dengan membekukan aset bank Rusia VTB dan pengeluar senjata Rostec, dan juga mengharamkan syarikat penerbangan utama Rusia, Aeroflot daripada menggunakan ruang udaranya selain menyasarkan lima lagi oligarki yang rapat dengan Putin.

Disiarkan pada: March 8, 2022 @ 11:20am
d