Eropah

Perang di Ukraine mungkin berakhir Mei

Oleh Reuters

Kyiv: Perang di Ukraine mungkin akan berakhir pada awal Mei apabila Rusia kehabisan sumber untuk menyerang jirannya, kata seorang penasihat kepada ketua kakitangan presiden Ukraine, Oleksiy Arestovich, pada lewat Isnin.

Perbincangan antara Kyiv dan Moscow - yang mana Arestovich tidak terbabit secara peribadi - setakat ini menghasilkan keputusan yang sangat sedikit berbanding beberapa koridor kemanusiaan dari bandar Ukraine yang terkepung.

Dalam video yang disiarkan beberapa media Ukraine, Arestovich berkata, jangka masa yang tepat akan bergantung pada jumlah sumber yang sanggup diberikan oleh Kremlin untuk kempen berkenaan.

"Saya fikir selewat-lewatnya pada Mei, awal Mei, kita sepatutnya ada perjanjian damai, mungkin lebih awal lagi, kita akan lihat, saya bercakap mengenai tarikh terkini yang mungkin (berlaku)," kata Arestovich.

Senario yang 'benar-benar gila' juga boleh berlaku dengan Rusia menghantar tentera yang baru sebulan menjalani latihan, katanya.

Namun, walaupun setelah keamanan dipersetujui, pertempuran taktikal kecil boleh berlaku selama setahun, menurut Arestovich, walaupun Ukraine menegaskan penyingkiran sepenuhnya tentera Rusia dari wilayahnya.

Perang di Ukraine bermula pada 24 Februari apabila Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan 'operasi khas ketenteraan', serangan terbesar ke atas negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 11:45am
d