Eropah

UK bekalkan Ukraine dengan peluru berpandu jarak jauh

Oleh AFP

London: United Kingdom (UK) dalam satu kenyataan, pada Isnin, akan mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) dengan menghantar sistem peluru berpandu jarak jauh kepada Ukraine sekali gus mengingkari amaran Presiden Rusia Vladimir Putin supaya Barat tidak membekalkan Kyiv dengan senjata canggih itu.

Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) berkata, London sudah berkoordinasi rapat dengan Washington berhubung pemberian sistem roket pelbagai pelancaran, yang dikenali sebagai MLRS, untuk membantu Ukraine mempertahankan negaranya daripada pencerobohan Rusia.

"Pelancar M270, yang boleh menyerang sasaran sehingga 80 kilometer (km) jauhnya dengan roket berpandukan ketepatan menawarkan peningkatan ketara dalam keupayaan untuk tentera Ukraine," kata kementerian itu dalam kenyataannya.

AS minggu lalu mengumumkan akan memberikan Kyiv, sistem roket artileri mobiliti tingginya dikenali sebagai Himars, yang boleh melancarkan beberapa peluru berpandu ketepatan secara serentak.

Lebih hebat lagi apabila peluru berpandu itu boleh dilancarkan dalam jarak dan ketepatan, berbanding sistem sedia ada yang dimiliki oleh Ukraine.

Meskipun begitu, langkah AS mendorong Putin untuk memberi amaran pada Ahad bahawa Moscow akan menyerang sasaran baharu yang tidak ditentukan, jika Barat membekalkan peluru berpandu ke Ukraine dan berkata, penghantaran senjata baru ke Kyiv bertujuan memanjangkan konflik.

Disiarkan pada: June 6, 2022 @ 10:08am
d