Eropah

Lelaki pandu kenderaan rempuh pelajar sekolah

Oleh AFP

Berlin: Seorang lelaki Jerman-Armenia memandu kenderaan ke arah orang ramai di sebuah pusat beli-belah yang sibuk di Berlin, merempuh sekumpulan remaja dan membunuh guru mereka.

Insiden itu berlaku kira-kira 10.30 pagi berhampiran Breitscheidplatz, lokasi di mana seorang individu menggunakan sebuah trak dan merempuh ke dalam pasar Krismas pada 2016 dan mengorbankan 12 orang.

Dalam kejadian terbaharu itu, sekurang-kurangnya 12 orang cedera termasuk enam dilaporkan kritikal, kata perkhidmatan kecemasan.

Tidak jelas sama ada kemalangan itu disengajakan.

Pemandu, 29, sedang disoal siasat, polis memberitahu AFP.

Kenderaan jenis Renault Clio dengan plat lesen Berlin berada di sudut Tauentzienstrasse dan

Rankestrasse sebelum melanggar kumpulan pelajar sekolah menengah yang dalam perjalanan ke kelas sebelum ia kembali ke jalan raya.

Ia kemudian merempuh hadapan kedai di Marburger Strasse.

Seorang guru wanita dengan kumpulan itu dari sebuah sekolah di Bad Arolsen, sebuah bandar kecil di Hesse di tengah Jerman, terbunuh.

Seorang guru lelaki parah, kata kerajaan negeri Hesse dalam satu kenyataan.

Pemandu itu ditahan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis, selepas kereta itu merempuh bahagian hadapan kedai, menurut polis.

Ketua Polis Berlin Barbara Slowik berkata, pemandu itu berada di hospital dan pada masa ini, polis tidak mempunyai bukti konklusif mengenai serangan politik.

Disiarkan pada: June 9, 2022 @ 10:22am
d