Eropah

10 maut serangan peluru berpandu Rusia ke atas apartmen

Oleh AFP

Kiev: Serangan peluru berpandu ke atas sebuah bangunan apartmen di wilayah Odessa, selatan Ukraine meragut nyawa 10 individu.

Jurucakap tentera Odessa, Sergei Bratchuk berkata, serangan awal pagi ini (Jumaat) membunuh 10 orang.

Sementara itu, Komando Operasi Selatan tentera Ukraine mendakwa serangan peluru berpandu itu berasal dari pesawat strategik dari Laut Hitam.

"Satu peluru berpandu mengenai bangunan kediaman sembilan tingkat manakala peluru (berpandu) lain mengenai pusat rekreasi.

"Sebahagian (bangunan) musnah sama sekali... penyelamat sudah menyediakan rawatan perubatan kepada tujuh yang cedera, termasuk tiga kanak-kanak," katanya.

Serangan peluru berpandu ke atas bangunan kediaman itu berlaku beberapa hari selepas serangan tentera Rusia memusnahkan pusat beli-belah di Kremenchuk, di tengah Ukraine yang mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang awam.

Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin menafikan tenteranya Moscow bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 10:59am
d