Eropah

Lima juta orang jejaki pesawat bawa mendiang Ratu

Oleh Reuters

London: Kira-kira lima juta orang menjejaki pesawat yang membawa jasad Ratu Elizabeth II yang diterbangkan dari Edinburgh ke London, pada Selasa.

Ia menjadikan pesawat itu paling dijejaki dalam sejarah.

Menurut Flightradar24, secara keseluruhan, 4.79 juta orang menjejaki pesawat secara langsung secara dalam talian, manakala suku juta lagi menyaksikannya menerusi saluran YouTube.

Syarikat itu berkata, lebih enam juta menjejaki pesawat berkenaan dalam minit pertama selepas Boeing C17A Globemaster itu mengaktifkan transponder di lapangan terbang di Edinburgh.

Ratu Elizabeth II mangkat di Istana Balmoral pada 8 September lalu. Upacara pengebumian akan diadakan pada 19 September ini.

Flightradar24 berkata, rekod terbaharu itu mengatasi jumlah 2.2 juta orang yang menjejaki pesawat membawa Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi yang melakukan lawatan kontroversi ke Taiwan, bulan lalu.

Disiarkan pada: September 14, 2022 @ 8:01am
d