Eropah

Ukraine terima sistem pertahanan dari AS

Oleh Reuters

Kyiv: Ukraine mengesahkan negara itu menerima sistem pertahanan udara canggih daripada Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu diumumkan Presiden Volodymyr Zelenskiy dalam satu wawancara yang disiarkan, semalam.

Ia ada pengakuan pertama Ukraine menerima Sistem Peluru Berpandu Permukaan ke Udara Termaju Nasional (Nasams), yang sudah lama dicari Kyiv dan penghantarannya diluluskan Washington, penghujung bulan lalu.

"Kami memang memerlukan Amerika Syarikat untuk menunjukkan kepimpinan dan memberikan Ukraine sistem pertahanan udara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden (Joe) Biden atas keputusan positif yang dibuat.

"Tetapi percayalah, ia tidak cukup untuk menampung infrastruktur awam, sekolah, hospital, universiti dan rumah orang Ukraine," katanya berdasarkan transkrip bahasa Inggeris wawancara itu.

Zelenskiy juga berterima kasih kepada AS kerana melancarkan Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars) dan pelbagai roket lain yang membolehkan Ukraine mara menentang tentera penjajah Rusia.

Ukraine melancarkan serangan balas bulan ini untuk membebaskan daripada pendudukan sebahagian besar wilayah di timur laut wilayah Kharkiv.

Mereka juga semakin mara ke arah selatan.

Rusia menyifatkan pencerobohannya yang berusia tujuh bulan ke Ukraine sebagai operasi ketenteraan khas dan menafikan mereka menyasarkan kawasan orang awam.

Disiarkan pada: September 26, 2022 @ 11:44am
d