Eropah

Jururawat didakwa bunuh tujuh bayi

Oleh Agensi

London: Jururawat yang didakwa melakukan siri pembunuhan beberapa bayi, mula dibicarakan di sebuah mahkamah United Kingdom, semalam.

Lucy Letby, 32, didakwa membunuh lima bayi lelaki dan dua bayi perempuan serta cuba membunuh lima lagi bayi lelaki dan lima perempuan, antara Jun 2015 hingga Jun 2016.

Letby dari Arran Avenue, Hereford, dikatakan melakukan pembunuhan selama tempoh itu ketika bekerja di unit neonatal Hospital Countess of Chester di Chester.

Bagaimanapun, tertuduh yang memakai sut gelap dan hadir di kandang tertuduh di Mahkamah Crown Manchester menafikan semua dakwaan ke atasnya itu.

Ibu bapanya, John, 76, dan Susan, 62, menyaksikan prosiding menerusi sebuah bilik mahkamah khas yang dihadiri keluarga bayi terbabit dan media.

Mahkamah mengeluarkan perintah larangan melaporkan identiti bayi yang masih hidup dan meninggal dunia yang didakwa diserang Letby.

Mahkamah juga melarang mengenal pasti ibu bapa atau saksi berkaitan dengan kes terbabit.

Perbicaraan semalam ditangguhkan sehingga Khamis ini dengan hujah undang-undang dijangka akan dimulakan.

Perbicaraan di mahkamah itu dijangka berlangsung sehingga enam bulan.

Disiarkan pada: October 5, 2022 @ 2:37pm
d