Eropah

Sekejap jadi wanita, sekejap jadi lelaki

Oleh Agensi

London: Seorang pempengaruh media sosial di United Kingdom yang sebelum ini terkenal kerana mengubah penampilannya kepada wanita Korea kini mengumumkan kembali menjadi lelaki.

Oli London pernah menjadi bualan dunia apabila muncul sebagai wanita transgender Korea, pada Mei lalu.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, London berkata, dia kini dalam proses beralih semula kepada seorang lelaki selepas hidup sebagai wanita transgender sejak enam bulan lalu.

"Saya tidak lagi (menjadi) transgender dan sudah kembali hidup sebagai seorang lelaki.

"Saya hargai jika semua orang dapat menggunakan kata ganti nama baharu saya sebagai seorang lelaki. Terima kasih," katanya di Twitter.

London mengakui kesal dikenali sebagai transgender dan keputusan itu satu kesilapan dalam hidupnya.

"Enam bulan lalu saya menjalani pembedahan pada wajah, kira-kira 11 kali dalam sehari, untuk menjadi wanita.

"Saya menukar struktur tulang saya, membuat sambungan rambut, menukar cara pemakaian dan mula memakai alat solek.

"Saya melakukannya kerana saya fikir ia akan menggembirakan saya. Saya berasa gembira pada masa itu tetapi dalam tempoh muhasabah diri, saya merasakan saya mengejar kebahagiaan tetapi sebaliknya menjadi seorang wanita bukan untuk saya," katanya kepada saluran berita Amerika Syarikat.

Sebelum ini, London dikritik kerana menjalani pembedahan untuk menyerupai penyanyi BTS, Park Jimin dengan ramai yang melihatnya sebagai contoh kejutan budaya.

Dia sebelum ini dilaporkan membelanjakan sekurang-kurangnya AS$150,000 (RM688,000) untuk membiayai kos pembedahan plastik selama lapan tahun.

Terbaharu, London mencukur rambutnya sepenuhnya yang dilihatnya sebagai permulaan perjalanannya kembali menjadi lelaki.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 1:49pm
d