Eropah

Bayi dua hari terbunuh dalam serangan Rusia

Oleh Agensi

Kyiv: Bayi lelaki berusia dua hari terbunuh selepas peluru berpandu Rusia menghentam sebuah hospital di selatan Ukraine, kata gabenor wilayah itu, Oleksandr Starukh.

Beliau berkata, tembakan artileri itu mengenai wad bersalin di bandar Vilniansk, Zaporizhzhia, pada awal pagi Rabu.

"Pada waktu malam, Rusia melancarkan roket besar (ke arah) wad bersalin kecil hospital di Vilniansk.

"Kedukaan memenuhi hati kami, seorang bayi yang baru muncul di dunia dibunuh," kata Starukh menerusi Telegram, seperti dilaporkan portal Independent.

Ibu bayi yang baru lahir itu bagaimanapun diselamatkan dari runtuhan, kata laporan berkenaan.

Starukh berkongsi beberapa siri imej kemusnahan melalui Kyiv Independent.

Gambar menunjukkan asap tebal di atas timbunan runtuhan yang dibersihkan oleh pekerja kecemasan.

Satu siri imej yang diedarkan oleh Perkhidmatan Kecemasan Ukraine kemudian menunjukkan operasi dijalankan untuk menyelamatkan pekerja hospital dan pesakit.

Seorang doktor juga parah selepas wad di bangunan itu terkena peluru berpandu S-300.

Perkhidmatan Kecemasan pada mulanya berkata, seorang bayi terbunuh, dan seorang ibu serta seorang doktor dikeluarkan dari runtuhan, dan mereka adalah satu-satunya orang di wad pada masa itu.

Perkhidmatan itu menyatakan dalam catatan susulan di Telegram, wanita yang diselamatkan itu adalah ibu kepada bayi berkenaan.

Ketua pejabat presiden Ukraine, Andriy Yermak mengutuk serangan itu dalam siaran Telegram.

Merujuk kepada tentera Rusia sebagai "pengganas", beliau berkata, Moscow akan bertanggungjawab.

Ia berlaku selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, ratusan hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan Ukraine berada di ambang kerosakan kerana kekurangan bahan api, air dan elektrik.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 11:10am
d