Eropah

Hospital di Perancis diserang penggodam, pembedahan dibatalkan

Oleh AFP

Versailles (Perancis): Kompleks hospital di Versailles, berhampiran Paris, terpaksa membatalkan pembedahan dan memindahkan beberapa pesakit susulan serangan siber pada hujung minggu, kata kementerian kesihatan Perancis.

Pusat Hospital Versailles - yang terdiri daripada Hospital Andre-Mignot, Hospital Richaud dan Rumah Persaraan Despagne - terjejas oleh cubaan penggodaman itu, kata pengurusan kompleks itu.

Agensi kesihatan serantau (ARS) berkata, Hospital Andre-Mignot membatalkan pembedahan, tetapi melakukan yang terbaik bagi memastikan perkhidmatan 'walk-in' pesakit dan rundingan dapat diteruskan.

Enam pesakit sudah dipindahkan sejak petang Sabtu - tiga dari rawatan rapi dan tiga dari unit neonatal, kata Menteri Kesihatan Francois Braun, ketika dia melawat hospital petang Ahad.

Serangan siber itu turut membawa kepada 'penyusunan semula keseluruhan hospital', kata menteri itu.

Walaupun mesin di unit rawatan rapi (ICU) masih berfungsi, namun lebih ramai diperlukan untuk memantau mesin berkenaan kerana sebahagian rangkaiannya tidak berfungsi, kata Braun.

Pejabat pendakwa raya Paris sudah membuka siasatan awal ke atas percubaan peras ugut, serta akses dan penyelenggaraan sistem digital negeri.

Pihak hospital juga sudah memfailkan aduan rasmi pada Ahad.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, hospital dan sistem kesihatan di Perancis menjadi sasaran serangan siber.

Menurut Braun, 'sistem kesihatan di Perancis mengalami serangan setiap hari', tetapi sebahagian besar percubaan ini dihalang.

Ogos lalu, hospital Corbeil-Essonnes di pinggir Paris - yang menyediakan penjagaan kesihatan untuk hampir 700,000 penduduk menjadi sasaran.

Operasinya terganggu teruk selama beberapa minggu sebelum kembali normal pada pertengahan Oktober.

Serangan itu diikuti dengan permintaan wang tebusan $10 juta, sebelum diturunkan kepada satu atau dua juta.

Penggodam menetapkan 23 September sebagai tarikh akhir untuk hospital membayar wang tebusan, dan mengugut akan menyiarkan data sulit pesakit dan kakitangan ke laman web gelap.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 2:35pm
d