Eropah

Robot Versius bantu pembedahan buang tumor esofagus

Oleh Agensi

London: Pakar bedah United Kingdom menggunakan robot baharu untuk membuang tumor barah dari kerongkong seorang pesakit, sekali gus menjadikan kejayaan pertama seumpamanya di negara itu.

Pakar Bedah Hospital Diraja Gloucestershire, Simon Higgs dan Steve Hornby menggunakan robot Versius untuk membuang tumor dari esofagus, Martin Nugent.

Perunding Gastrousus atas (GI), Higgs berkata, menggunakan robot Versius menandakan era baharu kerana ramai lagi pesakit akan menerima pembedahan akses minimum memandangkan GI adalah jabatan sangat sibuk.

Dalam pada itu, Nugent menyifatkan kejayaan pembedahan itu sebagai peluang kedua buatnya bersama insan tersayang.

"Jika bukan kerana mereka, saya tidak akan berdiri di sini sekarang.

"Saya rasa macam diberi peluang kedua untuk melihat cucu, anak-anak dan isteri saya sangat bermakna bagi saya," katanya dalam portal BBC News.

Sebelum ini, pembedahan pada esofagus yang menghubungkan mulut ke perut dilakukan melalui pembedahan terbuka atau jenis mesin lain.

Namun, dengan pembedahan menggunakan robot ini ia menghasilkan hirisan yang lebih kecil, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan, komplikasi dan parut selain memendekkan masa pemulihan untuk pesakit.

Hospital Diraja Gloucestershire mula menggunakan robot Versius tahun lalu.

Pembedahan Nugent menjadikan ia hospital Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) pertama di Britain yang mula menggunakannya dalam pembedahan GI.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 4:07pm
d