Eropah

Al Jazeera bawa kes pembunuhan Shireen ke ICC

Oleh AFP

The Hague: Al Jazeera memfailkan kes pembunuhan wartawannya, Shireen Abu Akleh ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Belanda, semalam, selepas berpendirian wanita itu sengaja dibunuh tentera Israel.

Saluran televisyen yang berpangkalan di Qatar berkata itu, pihaknya menemui bukti baharu mengenai kematian kejam warga Palestin-Amerika yang ditembak ketika membuat liputan mengenai serangan tentera Israel di Jenin, Tebing Barat, pada 11 Mei lalu.

Katanya, pihaknya mengemukakan bukti baharu dan rakaman video yang menunjukkan tentera Israel menembak terus ke arah wartawan dan rakan-rakannya.

"Bukti baharu menunjukkan tiada tembakan berlaku di kawasan itu kecuali oleh askar Israel dan wartawan berada pada kedudukan jelas dan berjalan perlahan-lahan di jalan kosong dengan berjaket media.

"Dakwaan oleh pihak berkuasa Israel bahawa Shireen terbunuh dalam tembakan tidak sengaja adalah tidak berasas sama sekali.

"Bukti ini jelas menunjukkan mereka menyasar dan mahu 'mendiamkan' Al Jazeera," katanya dalam satu kenyataan.

Peguam Al Jazeera, Rodney Dixon mendakwa Israel menyelindungi hal sebenar.

Katanya, pembunuhan itu adalah sebahagian daripada kempen sistematik dan meluas Israel terhadap Al Jazeera termasuk insiden pengeboman bangunan Gaza menempatkan pejabat Al Jazeera dan biro agensi berita Amerika Syarikat, Associated Press, tahun lalu.

Anak saudara mangsa, Lina Abu Akleh berkata, mereka mahu mencari keadilan untuk mengheret pelaku pembunuhan itu ke muka pengadilan.

"Keluarga saya masih tidak tahu siapa yang melepaskan peluru maut itu dan siapa dalang yang memerintahkan ibu saudara saya dibunuh.

"Buktinya sangat jelas, kami harap ICC akan mengambil tindakan," katanya dalam sidang media di The Hague.

Katanya, keluarganya memohon pertemuan dengan pendakwa raya, Karim Khan.

Pemerhatian wartawan mendapati, seorang peguam yang mewakili kes Al Jazeera memasuki ibu pejabat ICC untuk menyerahkan penghujahan mereka.

Pejabat pendakwa ICC pula mengesahkan, pihaknya berkomunikasi dengan Al Jazeera Media Network, namun tidak mengulas mengenai penyerahan nama individu.

ICC yang ditubuhkan pada 2002 sebagai mahkamah jenayah perang pilihan terakhir, tahun lalu melancarkan siasatan di wilayah Palestin, namun Israel mempertikaikan bidang kuasa mahkamah kerana ia bukan anggota ICC.

Israel berkata, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana siasatan luar terhadap kematian Shireen.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 11:13am
d