Eropah

Dihukum kerana tatu hitam mata gadis

Oleh Agensi

Warsaw: Pelukis tatu di Poland didenda PLN 150,000 (kira-kira RM150,000) kerana menyebabkan seorang wanita muda buta selepas prosedur 'menghitamkan' mata wanita malang itu gagal.

Hukuman diputuskan mahkamah pada 20 Disember lalu yang turut mengarahkan Piotr A menjalani hukuman komuniti 30 jam setiap bulan selama setahun.

Aleksandra Sadowska menjalani prosedur melukis tatu hitam pada bahagian putih matanya di studio Piotr A pada April 2017, selepas mengetahui mengenai kebolehan lelaki itu secara dalam talian.

"Saya teringin tatu hitam mata, saya rasa ia sesuai dengan saya," katanya kepada media tempatan ketika prosedur itu dilaksana.

Bagaimanapun, mahkamah diberitahu bahawa pelukis tatu berkenaan menggunakan jarum yang menembusi bola mata terlalu dalam, selain dakwat digunakan tidak disahkan selamat.

Aleksandra yang berusia 21 tahun ketika itu berkata, dia memilih pelukis berkenaan kerana latar belakangnya dalam melukis tatu sama kepada orang lain.

"Artis tatu itu sudah melakukan puluhan prosedur demikian dalam maklumat profailnya. Sekurang-kurangnya itu yang dimaklumkan.

"Namun ia nampaknya tidak benar. Dia juga mendakwa berpendidikan dalam bidang perubatan, yang mana boleh diragui," katanya.

Komplikasi pada mata Aleksandra berlaku serta-merta, bermula dengan glaukoma hingga katarak.

Wanita itu terpaksa menjalani tiga pembedahan yang mana tragisnya apabila tiada satu pun dapat memulihkan penglihatannya.

Sebelah matanya diganti dengan implan, manakala sebelah lagi hanya dapat melihat cahaya berkilau tanpa kontur.

Disiarkan pada: January 3, 2023 @ 3:35pm
d