Eropah

Gempa Turkiye: 'Nyawa haiwan juga penting'

Oleh Agensi

Gaziantep: Selain mencari mangsa yang masih hidup, sukarelawan dan pasukan penyelamat bencana tidak ketinggalan menyelamatkan haiwan di bawah runtuhan bangunan di selatan Turkiye.

Anadolu Agency melaporkan, Hatay, satu daripada 10 wilayah yang dilanda gempa bumi dahsyat minggu lalu, menyaksikan sukarelawan menyelamatkan lebih 300 haiwan yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Ahli Kanan Persatuan Perlindungan Haiwan Pelindung Kaki di bandar itu, Ibrahim Gocer memberitahu Anadolu Agency, walaupun kehilangan ramai saudaranya di Hatay, dia mengenepikan kesedihannya dengan bergegas membantu mangsa gempa bumi, termasuk haiwan yang terperangkap di dalam runtuhan.

"Saya di sini bersama pasukan saya. Kami melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mana-mana nyawa.

"Saya kehilangan ramai insan tersayang termasuk saudara-mara dan rakan, tetapi kami perlu bangkit. Kami perlu kekal bertenaga. Nyawa ini (haiwan) juga penting," katanya.

Penyelamat membawa haiwan yang mereka selamatkan ke tempat perlindungan di wilayah yang tidak terjejas untuk dijaga dan dirawat.

Ayse Taskiran, yang mengetuai persatuan itu berkata, mereka berusaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa gempa bumi bukan manusia berdasarkan laporan diterima mengenai kemungkinan lokasi haiwan itu.

"Kami membantu lebih 300 nyawa (haiwan) setakat ini dan kami menyelamatkan ramai rakan (haiwan peliharaan) tersayang kami, sama ada dari bawah runtuhan atau di dalam bangunan.

"Ada perjuangan yang hebat, kehilangan yang besar di sini. Satu kehilangan besar untuk semua makhluk hidup namun kami masih meneruskan kerja," katanya

Lebih 37,000 individu terbunuh dan lebih 81,000 lagi cedera dalam dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lalu.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6, yang berpusat di wilayah Kahramanmaras, dirasai oleh 13 juta orang di 10 wilayah di Turkiye, dan turut menjejaskan beberapa negara di rantau itu.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 12:31pm
d