Eropah

'Ketagih' perdaya warga emas

Oleh Agensi

London: Polis Maidstone, Kent di United Kingdom (UK) menyifatkan seorang wanita sebagai pesalah prolifik dalam aktiviti jenayah apabila berulang kali mengeksploitasi ahli komuniti untuk mengaut keuntungan dengan memperdaya warga emas.

Pegawai penyiasat, DC Mark Beeching dari Maidstone CID berkata, Emma Fuggles, 45, bukan sahaja memperdaya mangsanya, malah dia dengan berani kembali ke tempat kejadian untuk mengambil kesempatan lagi.

"Fuggles adalah pesalah prolifik dengan sejarah aktiviti jenayah, jadi wajarlah dia menjalani hukuman di sebalik bar selepas gagal meminda caranya," katanya seperti dilaporkan Mirror UK.

Mahkamah Crown Maidstone menjatuhi hukuman penjara dua tahun empat bulan terhadap Fuggles selepas didapati bersalah mencuri ratusan Pound Sterling daripada warga emas dalam penipuan dengan melakukan penyamaran sebagai pihak berkuasa.

Perbuatan itu dilakukan pada September tahun lalu ketika Fuggles bersama rakan jenayahnya, Kathleen Perry, 57, memakai seragam polis dan datang ke sebuah rumah di Maidstone, Kent.

Mereka meyakinkan mangsa bahawa dia adalah suspek untuk melakukan pelbagai kesalahan dan memberitahu lelaki itu akan ditangkap jika tidak menyerahkan kad bank serta nombor pinnya.

Fuggles dan rakannya mengeluarkan 500 Pound Sterling (kira-kira RM2,664) daripada bank akaun mangsa serta kembali keesokannya tetapi melarikan diri apabila mangsa memberitahu sudah menghubungi polis.

Beberapa hari kemudian, Fuggles datang ke rumah mangsa seterusnya dengan menyamar sebagai pegawai perumahan dan memberitahunya seorang jiran memesan peralatan tempat tidur yang perlu dibayar.

Taktiknya menjadi apabila mangsa lelaki berusia 69 tahun menyerahkan kad bank dan mengeluarkan 150 Pound Sterling (kira-kira RM799) daripada akaun banknya.

Fuggles kemudiannya ditangkap didakwa atas kesalahan pecah rumah, dua pertuduhan mencuri, dan dua pertuduhan penipuan di mahkamah.

Rakannya, Perry turut ditangkap dan didakwa atas tuduhan mencuri dan penipuan untuk kes yang sama dan direman dalam tahanan, lapor Kent Online.

Bagaimanapun, dia enggan hadir ke mahkamah untuk praperbicaraan dan tanpa kehadirannya kemudiannya didapati bersalah.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 2:56pm
d