Eropah

Penduduk berdepan kesukaran tiada tandas, air

Oleh AFP

Antakya: Meskipun lega terselamat daripada gempa bumi yang mengorbankan banyak nyawa, penduduk yang terjejas akibat tragedi itu berdepan kebimbangan menghidap penyakit lain berikutan tiada kemudahan asas termasuk tandas.

Mereka kehilangan kemudahan seperti tandas dan tempat mandian berikutan runtuhan bangunan akibat gempa terburuk yang melanda negara itu pada awal pagi 6 Februari lalu.

Seorang penduduk Kahramanmaras, bandar berhampiran pusat gempa awal, Husne Duz, 53, memberitahu mereka berdepan kesukaran tiada tandas, terutama di kawasan tapak khemah yang menempatkan penduduk terjejas.

"Orang ramai kencing dekat khemah. Kita perlukan tandas dan tempat mandi. Kita juga memerlukan mesin basuh untuk mencuci pakaian," kata wanita itu.

Tandas mudah alih mula dibawa ke kawasan gempa namun permintaannya melebihi bekalan.

Terdapat 15 tandas mudah alih di atas jambatan di tengah Antakya yang dipenuhi pengguna sehingga najis melimpah ke atas jalan.

Sedef, 18, dari Antakya sebuah bandar lama dengan hampir 500,000 orang penduduk dan keseluruhan bangunan hancur, berkata kekurangan kemudahan asas itu semakin terdesak.

Katanya, dia terpaksa menggunakan kemudahan kotor itu kerana mereka yang tinggal di sekolah yang dijadikan tempat perlindungan adalah lebih teruk.

"Mungkin kami tidak mati akibat gempa bumi, tetapi akan mati akibat penyakit," katanya kepada AFP.

Bagi Nurhan Turunc, 42, yang ditemui ketika mengambil ubat untuk saudara di farmasi sementara ditubuhkan sukarelawan di Antakya berkata, ia adalah isu terbesar mereka selain ketiadaan air.

Sementara itu, Sedat Akozcan yang mengetuai dewan ahli farmasi berkata, keadaan kebersihan teruk akan menyebabkan penyakit berjangkit.

"Tetapi daripada permintaan ubat ketika ini, risiko penyakit berjangkit itu tidak berlaku," katanya.

Beroperasi di tempat letak kereta bangunan kesihatan awam yang musnah, sekumpulan sukarelawan muda dan 30 ahli farmasi memberikan rawatan dan nasihat percuma kepada mangsa di Antakya yang terselamat.

Matlamat mereka adalah untuk memastikan keadaan kesihatan dan sanitasi terurus sehingga lebih banyak bantuan kerajaan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa tiba.

Tragedi minggu lalu mengorbankan hampir 40,000 orang di seluruh kawasan tenggara Turki dan barat laut Syria, menjadi bencana paling dahsyat di kawasan itu sejak berabad lalu.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 11:57am
d