Eropah

Berharap anak masih hidup

Oleh Agensi

Istanbul: Seorang wanita yang kehilangan suami dan dua anak lelakinya ketika gempa bumi 6 Februari lalu di selatan Türkiye kini berharap anak perempuannya yang berusia 21 tahun masih hidup dan dapat diselamatkan.

Cigdem Guler, 37, yang cedera ketika gempa bumi yang menggegarkan daerah Antakya di wilayah Hatay, mahukan usaha mencari dan menyelamat dapat diteruskan untuk mencari anaknya itu, lapor Agensi Anadolu.

Guler yang masih menerima rawatan di sebuah hospital di Istanbul bersedih kehilangan suami dan anak lelakinya, tetapi tertanya-tanya mengenai nasib anak perempuannya, Nevin, yang dimasukkan ke Poliklinik Psikiatri Hospital Negeri Antakya ketika gempa melanda.

Tiada rekod anak perempuannya ditemukan dalam kalangan mereka yang diselamatkan dari runtuhan hospital, kata Guler kepada Anadolu.

"Hati saya semakin sakit. Satu-satunya harapan saya ialah anak perempuan saya ditemui hidup. Tolong bantu, dia satu-satunya harapan saya," katanya.

Selepas gempa bumi yang melanda Antakya, Guler terperangkap di bawah runtuhan kediamannya selama hampir 40 jam.

"Saya tidak boleh bernafas. Alhamdulillah saya diselamatkan tetapi saya cedera," katanya.

Sekurang-kurangnya 40,642 orang terbunuh dan lebih 108,000 cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Türkiye pada 6 Februari, menurut angka terkini.

Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud, yang berpusat di wilayah Kahramanmaras menjejaskan lebih 13 juta orang di 11 wilayah termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye Elazig, dan Sanliurfa.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 1:34pm
d