Eropah

Lelaki tikam wanita di pusat riadah ditahan

Oleh Agensi

London: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menikam seorang wanita di kawasan sebuah pusat riadah di Cheltenham, Gloucestershire.

Dalam kejadian jam 9.15 malam Khamis lalu, mangsa mengalami kecederaan serius dan masih menerima rawatan di hospital.

Lelaki berusia 29 tahun terbabit ditahan sejurus selepas kejadian cubaan membunuh itu.

Suspek direman bermula Sabtu sehingga 16 Mac ini bagi siasatan lanjut mengikut Akta Keganasan.

Timbalan Ketua Polis Gloucestershire, Richard Ocone berkata, pihaknya percaya insiden itu adalah terpencil dan menolak kemungkinan ancaman lain kepada orang awam.

"Kami bekerjasama rapat dengan pasukan anti keganasan.

"Kami mengetahui kejadian sebegini mungkin membimbangkan penduduk. Orang ramai digalakkan menghubungi pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai kejadian itu," katanya.

Pada Jumaat, pusat riadah itu mengesahkan kejadian dan ia ditutup buat sementara.

Dalam satu kenyataan di Facebook, pusat riadah di Cheltenham ditutup bagi siasatan polis dan akan memaklumkan pembukaan semula.

Disiarkan pada: March 12, 2023 @ 1:33pm
d