Eropah

Serangan di pusat Islam di Lisbon, dua wanita terbunuh [METROTV]

Oleh AFP

Lisbon: Seorang penyerang bersenjatakan pisau membunuh dua wanita di sebuah pusat Islam di ibu kota Portugal, Lisbon, sebelum ditembak dan dicederakan oleh polis, kata pihak berkuasa.

Perdana Menteri Antonio Costa berkata, "terlalu awal untuk membuat sebarang tafsiran terhadap perbuatan jenayah itu".

"Semuanya menunjukkan ini sebagai insiden terpencil," katanya kepada pemberita.

Polis bersenjata yang memakai jaket kalis peluru berdiri di luar pintu masuk ke pusat Islam Ismaili yang terletak di taman berlandskap di utara Lisbon.

Pegawai dipanggil ke pusat itu sejurus sebelum 11 pagi (waktu tempatan) di mana mereka terserempak dengan seorang lelaki "bersenjatakan pisau besar", kata satu kenyataan polis.

"Amaran diberikan kepada penyerang untuk menghentikan serangan, tetapi ia tidak dipatuhi, (penyerang) mara ke arah polis dengan pisau di tangan.

"Berdepan dengan ancaman serius dan berterusan, anggota polis menggunakan senjata api terhadap orang itu, memukul dan menenangkan penceroboh," katanya.

Walaupun polis pada mulanya berkata, terdapat "beberapa" yang cedera, ketua komuniti Ismaili Portugal, Rahim Firozali, berkata, seorang cedera, selain dua wanita yang terbunuh.

"Lelaki bersenjata itu menyerang tiga orang yang berada di pusat Ismaili, membunuh dua daripada mereka dan mencederakan satu lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika serangan itu, kelas dan "aktiviti lain yang biasanya berlaku di sana sedang dijalankan," tambahnya.

Penyerang dibawa ke hospital di mana dia berada di bawah kawalan polis, kata pegawai.

Disiarkan pada: March 29, 2023 @ 10:25am
d