Eropah

Genggam ijazah selepas 54 tahun

Oleh Agensi

Ottawa: Selepas lima dekad, akhirnya seorang warga emas menggenggam ijazahnya, semalam, sekali gus menjadi penuntut universiti paling lama menamatkan pengajian.

Arthur Ross, 71, memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera di Kampus Vancouver, Universiti British Columbia (UBC) sejak 1969.

Ini bermakna dia mengambil masa 54 tahun untuk menamatkan pengajiannya iaitu lebih lama daripada pemegang Rekod Dunia Guinness, Robert FP Cronin.

Cronin dilaporkan memulakan ijazah biologinya di Universiti Princeton pada 1948 sebelum menamatkan pengajiannya pada 2000.

Ross berkata, bukan tujuannya mahu memegang gelaran rekod dunia, namun ilmu yang diperolehnya adalah ganjaran sebenar.

"Saya mahu belajar sebab saya hendak tahu. Keinginan untuk belajar itulah menjadi inspirasi untuk saya menamatkan pengajian selepas bertahun-tahun.

"Saya sudah menghadiri semua majlis konvokesyen anak, kini tiba giliran saya dan saya teruja berjalan di atas pentas menggenggam ijazah," katanya kepada BBC.

Mengimbau perjalanannya, Ross berkata, pada awal pengajian di UBC dia menyertai kelab teater sebelum memutuskan menukar kursus dan berpindah ke Montreal untuk belajar di Sekolah Teater Kebangsaan.

"Saya menerima sijil selepas tamat pengajian di sekolah itu, namun saya sedar saya tak berminat untuk menjadikan lakonan sebagai kerjaya.

"Saya membuat keputusan masuk ke sekolah undang-undang untuk menjadi seorang peguam.

"Saya kembali ke UBC untuk menamatkan pengajian selama tiga tahun yang diperlukan untuk memohon kemasukan ke sekolah undang-undang," katanya.

Katanya, dia diterima masuk ke sekolah undang-undang di Universiti Toronto sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang itu selama 35 tahun.

"Selepas bersara pada 2016, saya memutuskan mungkin tiba masanya menyelesaikan apa yang dimulakan sejak hampir lima dekad lalu.

"Saya mahu habiskan pengajian sarjana muda saya yang tertangguh.

"Saya kembali ke kampus yang sudah berubah dan banyak penggunaan teknologi terutama dalam Covid-19, malah saya tak perlu bayar yuran tuisyen kerana saya seorang senior yang bersara," katanya.

26hmu: Arthur Ross. FOTO UBC

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 1:13pm
d