Eropah

Anjing tertua dunia kini 31 tahun

Oleh Agensi

Lisbon: Anjing tertua dunia, Bobi, menyambut ulang tahun ke-31, baru-baru ini.

Berdasarkan Rekod Dunia Guinness (GWR), anjing baka Rafeiro do Alentejo itu diraikan di rumahnya di perkampungan Conqueiros, Leiria, Portugal, minggu lalu.

Tetamu termasuk Bobi dihidangkan daging dan ikan tempatan, malah sebuah kumpulan tarian turut dipanggil untuk membuat persembahan dengan Bobi turut mengambil bahagian.

Pemilik anjing itu, Leonel Costa, 38, berkata, lebih 100 orang menghadiri pesta yang sangat tradisional itu.

Katanya, dia sebelum ini memiliki beberapa anjing lebih tua termasuk ibu Bobi, Gira, yang hidup hingga umur 18 tahun.

"Saya tak pernah membayangkan mana-mana anjing saya akan mencapai umur 30-an.

"Kami melihat situasi seperti ini sebagai hasil biasa daripada kehidupan yang mereka miliki, tetapi Bobi adalah satu daripada jenisnya," katanya.

Katanya, salah satu faktor penyumbang terbesar kepada umur panjang Bobi ialah persekitaran tempat tinggal yang tenang dan damai.

"Sepanjang hidupnya, Bobi bebas menjelajah hutan di sekitar rumah kami. Dia tidak pernah dirantai atau diikat.

"Bobi, anjing yang sangat mudah bergaul dan tidak pernah kesepian kerana dia membesar dengan dikelilingi banyak haiwan lain.

"Bobi istimewa kerana saya melihatnya seperti mengingati orang yang pernah menjadi sebahagian daripada keluarga kami dan malangnya sudah tiada di sini, seperti ayah, abang atau datuk nenek saya yang sudah meninggalkan dunia ini," katanya.

Kini, pada usianya yang semakin uzur, Bobi sukar berjalan dan hanya gemar melepak di halaman rumah selain penglihatannya juga semakin terbatas hingga kerap terlanggar sesuatu ketika berjalan.

Bobi juga banyak menghabiskan masanya dengan tidur selepas makan.

Tarikh lahir Bobi disahkan Jabatan Perubatan Veterinar Perbandaran Leiria selepas anjing itu didaftarkan pada 1992.

Umurnya juga disahkan pangkalan data haiwan peliharaan di Portugal.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 1:04pm
d