Eropah

Jodoh kerana ajakan berswafoto

Oleh Agensi

Madrid: Bintang tenis Sepanyol, Garbine Muguruza mengumumkan pertunangannya dengan peminat lelaki yang pernah berswafoto bersamanya dua tahun lalu.

Bekas juara Terbuka Perancis dan Wimbledon itu berkongsi perkenalan dengan buah hatinya yang bekerjaya dalam industri fesyen.

Muguruza berkata, dia berkenalan dengan lelaki itu, Arthur Borges ketika mereka bertemu di Central Park, New York City, semasa dia menyertai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2021.

Katanya pada ketika itu dia perlu menenangkan fikiran sebelum menghadapi pertandingan berprofil tinggi yang memerlukan tumpuan tinggi.

"Kebetulan hotel saya berhampiran dengan Central Park dan saya bosan, jadi saya rasa saya perlu berjalan-jalan.

"Saya keluar dan terserempak dengannya di jalanan.

"Tiba-tiba, dia berpaling sambil berkata 'semoga berjaya di Kejohanan Terbuka AS'.

"Dalam hati saya mengakui kacaknya dia," katanya kepada HOLA! Sepanyol minggu lalu.

Muguruza yang berusia 29 tahun berkata, mereka mengatur pertemuan seterusnya dan mula meluangkan masa bersama dengan bersiar-siar di sekitar Central Park.

"Rasa macam pelik saya dalam bidang tenis dan dia fesyen.

"Namun, ketika dia melamar, saya mula menangis dan tak tahu bertindak balas sebelum bersetuju dengan lamaran itu," katanya.

Menurut WTA Tennis, Muguruza mula bermain tenis pada usianya tiga tahun dengan abangnya.

Dia terkenal dengan gaya permainannya yang agresif dan permukaan kegemarannya ialah gelanggang keras.

Selain aktif dalam sukan itu, Muguruza gemar memasak, membaca dan mendengar muzik.

1hmtenis Garbine Muguruza bersama tunangnya. FOTO Instagram @garbimuguruza

tamat

Disiarkan pada: June 1, 2023 @ 11:59am
d