Eropah

Amaran keras untuk pempengaruh

Oleh AFP

Paris: Parlimen Perancis semalam sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu bagi membanteras penipuan dan pengiklanan tidak diisytiharkan.

Dengan itu, pempengaruh berdepan hukuman penjara atau denda jika melanggar peraturan itu.

Secara teorinya, undang-undang itu meminta mereka menyiarkan perkataan pengiklanan atau perkongsian komersial apabila membincangkan tentang sesuatu produk.

Ia turut melarang promosi pembedahan kosmetik, tembakau dan beberapa produk kewangan serta peranti perubatan.

Ia juga mengetatkan peraturan untuk mempromosikan pertaruhan sukan dan permainan loteri yang akan dihadkan kepada platform yang mempunyai kapasiti melarang akses kepada kanak-kanak bawah umur seperti YouTube.

Mereka yang ingkar berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda 300,000 Euro (RM1,48 juta).

RUU itu dibentangkan di Parlimen sejak Mac lalu sebagai satu usaha memastikan pempengaruh dalam talian mematuhi peraturan pengiklanan sama seperti media tradisional.

Kira-kira 150,000 pempengaruh direkodkan di Perancis dengan kebanyakan mereka memiliki pengikut sederhana, namun segelintir mereka mempunyai jutaan pelanggan.

Mereka menerima bayaran dengan mempromosikan produk komersial yang sering tidak diisytiharkan kerana tiada peraturan khusus.

Pada penghujung Mac lalu, Kesatuan Pempengaruh dan Pencipta Kandungan, mengalu-alukan cadangan sewajarnya bagi mengawal selia industri berkenaan.

Namun, mereka memberi amaran kepada Ahli Parlimen terhadap risiko diskriminasi atau terlalu mengawal selia pemain tertentu.

Sebelum ini, AVI atau Help for the Victims of Influencers mula melancarkan tindakan undang-undang bagi pihak individu yang menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian.

Kempen berprofil tinggi terhadap penipuan pempengaruh yang diketuai penyanyi rap Perancis, Booba juga dilancarkan beberapa bulan sebelum ini.

Dalam mesej dan video yang disiarkan kepada jutaan pengikut media sosialnya, Booba menggelarkan dirinya sebagai pemberi maklumat dan menyasarkan personaliti terkemuka terutama pemilik agensi pempengaruh.

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 12:22pm
d