Eropah

Pintu pesawat Alaska Airlines yang tercabut sah dikeluarkan syarikat Malaysia

Oleh Agensi

Washington: Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) mengesahkan bahawa pintu Boeing 737 MAX 9 milik Alaska Airlines yang tercabut hingga menyebabkan pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Portland, Oregon, Amerika Syarikat pada awal bulan ini dikeluarkan di Malaysia.

Menurut laporan Wall Street Journal, Pengerusi NTSB, Jennifer Homendy berkata, pintu itu dikeluarkan oleh Spirit AeroSystems di Malaysia sebelum dihantar ke pembekal Boeing di Wichita, Kansas.

Menurutnya, siasatan NTSB juga akan menyelidik maklumat berkaitan pengeluaran, pengangkutan, pemasangan serta pemeriksaan kualiti sepanjang proses itu.

"Buat masa ini kami tidak mempunyai petunjuk di mana dalam proses ini ia terjadi. Ia (kesilapan) boleh berlaku di mana sahaja sepanjang proses, dan kami tidak hanya menumpukan pada pengeluaran," katanya.

Pada minggu lalu, portal berita Oregon Public Broadcasting (OPB) melaporkan seorang guru sekolah di Portland menemui pintu pesawat yang tercabut di halaman belakang rumahnya.

OPB melaporkan bahawa Bob Sauer turut melihat nombor siri pintu dan maklumat pengeluaran lain, seperti 'Made in Malaysia' yang kelihatan ditulis dengan tangan menggunakan pen dakwat kekal.

Semalam, empat penumpang menyaman Alaska Airlines dan Boeing kerana pengalaman 'ngeri' yang mereka alami selepas palam pintu "terputus" semasa penerbangan mereka, menurut aduan yang difailkan pada Selasa, lapor ABC News.

Palam pintu untuk fiuslaj Boeing 737 Max 9 tertanggal beberapa minit selepas penerbangan 1282 Alaska Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland pada 5 Januari, menekan kabin dan mendedahkan penumpang pada ketinggian beribu-ribu kaki di udara, menurut NTSB.

Tiada sesiapa yang cedera parah dan pesawat itu melakukan pendaratan cemas dengan selamat.

Disiarkan pada: January 18, 2024 @ 4:56pm
d