Eropah

Satu unit parkir berharga RM2.52 juta

Oleh AFP

Amsterdam: Bukan hanya rumah, namun tempat letak kenderaan di Belanda juga dijual dengan harga premium apabila satu unit parkir di bandar ini disenaraikan untuk dijual pada harga hampir setengah juta euro.

Terletak di PC Hooftstraat, bersebelahan Vondelpark yang terkenal di Amsterdam, parkir dalam bangunan itu diiklankan pada harga 495,000 euro (kira-kira RM2.52 juta) di laman web hartanah Belanda, funda.nl.

"Kami menawarkan tempat letak kereta untuk dijual atau disewa di jalan yang paling terkenal dan paling eksklusif di Belanda," demikian keterangan iklan itu.

Parkir itu juga tidak jauh dari tarikan utama seperti Muzium Van Gogh dan Rijksmuseum.

Penyiar komersial Belanda RTL Nieuws, yang pertama kali melaporkan cerita itu, menggelarnya ruang letak kereta paling mahal di Belanda.

Ia menyatakan, ada ratusan tempat letak kereta dijual di Belanda, namun harga untuk unit ini mencetuskan tanda tanya.

Namun, bagi mereka yang sanggup membayar harga berkenaan, ruang tertutup seluas 18 meter persegi itu sesuai untuk kereta yang lebih luas.

Iklan jualan unit parkir itu turut menyatakan ada ruang yang cukup untuk pemandu dan penumpang untuk melangkah keluar dari kenderaan.

Dalam pada itu, laporan mengenai ikan jualan unit parkir itu juga menarik perhatian ramai. Ini memandangkan unit tempat letak kereta itu boleh disewa dengan harga 750 euro (RM3,827.69) sebulan.

Ejen yang menjual tempat letak kereta itu, Jeel Heule memberitahu RTL, dia tidak bersetuju dengan mereka yang menganggap harga jualan parkir itu terlalu tinggi, memandangkan kekurangan tempat letak kereta lain yang tersedia.

"Bagi orang ramai... di kawasan kejiranan ini, membeli tempat letak kereta menawarkan penyelesaian," kata Heule.

Belanda, salah satu negara paling padat penduduk di Eropah dengan 17.8 juta orang, menghadapi kekurangan perumahan yang teruk iaitu kira-kira 390,000 rumah, menurut satu kajian baru-baru ini.

Harga purata rumah di Belanda mencecah 430,000 euro (kira-kira RM2.19 juta), pada 2023.

Disiarkan pada: May 4, 2024 @ 2:06pm
d