hati

Pengesanan awal kanser kolorektal

Kanser kolorektal atau lebih dikenali kanser usus besar kini menjadi kanser paling lazim dihidapi lelaki di Malaysia serta yang kedua tertinggi dalam kalangan wanita.

Sejarah keluarga, gaya hidup tidak sihat dan umur semakin meningkat menjadi faktor penyumbang kepada penyakit ini. Walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan, masih ramai yang takut menjalani pemeriksaan awal.

Antara alasan diberi malu, takut menerima kenyataan dan tidak mahu menyusahkan keluarga. Ini menjadikan penyakit merebak ke peringkat seterusnya dan sukar diubati.

Sejak 2009, Empowered iaitu Persatuan Advokasi Kanser Malaysia sudah berjaya menyelamatkan banyak nyawa menerusi pelbagai aktiviti seperti saringan dan rawatan kanser kolorektal serta kempen kesedaran pada setiap tahun.

Sama seperti tahun sebelumnya, Empowered sekali lagi melancarkan Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Kolorektal 2017 di pusat beli-belah Paradigm Mall, Petaling Jaya pada 13 Mei ini.

Bertemakan Sayangi Pinggul, Periksa Usus Anda, Empowered bekerja keras meneruskan program amal ini untuk memberi kesedaran sekali gus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia melalui pengesanan awal kanser kolorektal.

Menurut Pengasas Persatuan Advokasi Kanser Malaysia Dr Christina Ng, perasmian kempen kesedaran akan diadakan pada 13 Mei ini disusuli aktiviti lain akan berlangsung selama dua hari.

“Ia adalah inisiatif meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser kolorektal dan kepentingan saringan awal. Pelancaran projek ini juga platform untuk mendorong rakyat Malaysia supaya mengambil berat terhadap kesihatan diri sendiri,” katanya.

Katanya lagi aktiviti ini akan menjadi seperti fiesta, dipenuhi keseronokan apabila ramai ahli keluarga boleh turut menyertai acara mencari harta karun. Bagi peminat tarian boleh mengikuti tarian kecergasan yang penuh keseronokan.

Sesi memasak pula mengajar tetamu menyediakan hidangan sihat manakala aktiviti pentas disertakan dengan hadiah cabutan bertuah yang lumayan.

Bagi mendapatkan sokongan dan semangat, bekas pesakit kanser akan berkongsi pengalaman pahit dan manis sepanjang perjuangan menentang kanser kolorektal besar bagi memberi inspirasi kepada individu yang berisiko untuk menikmati kehidupan ceria kembali.

Untuk maklumat lanjut mengenai Empowered, layari www.empowered.org.my atau Facebook https://www.facebook.com/EmpoweredMY/

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 12:41pm
d