hati

Dilema bapa era siber

Sepanjang membesar sebagai anak bongsu yang paling nakal, emak dan ayah memang tegas. Jika saya melakukan kesalahan, pasti akan dirotan. Maka akan terdengarlah tangisan panjang disusuli permohonan maaf berulang kali. Seboleh-bolehnya saya berjanji, tidak akan mengulanginya lagi.

Ketika itu tidak ada kamera litar tertutup (CCTV), komputer, sambungan Internet mahupun telefon pintar. Apa yang saya ada hanyalah satu konsol permainan mikro-genius untuk mengisi lapang dan menghilangkan bosan setiap kali hujan turun.

Walaupun tidak ada kamera yang memantau rutin harian dan sikap nakal, emak ayah tetap tahu jika saya bersalah. Inilah yang dipanggil sebagai naluri ibu bapa.

IBU BAPA DIGITAL

Mengimbas kembali pengalaman lalu, saya sedar emak dan ayah tidak mempunyai sebarang manual untuk membesarkan anak. Mereka hanya membesarkan anak mengikut nasihat ahli keluarga dan rakan.

Apabila saya memulakan perjalanan sebagai bapa dalam dunia digital hari ini, saya melengkapkan diri dengan apa yang akan dimiliki setiap bakal ibu bapa tidak lama lagi. E-buku bagaimana berdepan dengan isteri mengandung, garis panduan rumah yang sesuai untuk bayi, kamera memantau isteri, walkie-talkie untuk komunikasi di dalam rumah, bookmark mengenai prosedur bersalin di waktu kecemasan, termasuklah video langkah demi langkah dari pakar EMT di dalam telefon pintar dan satu pemegang kunci kecemasan yang mudah dicapai.

Sampai sekarang, saya masih tidak tahu bagaimana emak dan ayah boleh hidup tanpa semua ini, terutama tanpa telefon bimbit! Namun, apa yang membuatkan saya berbeza dengan majoriti mereka yang bakal menjadi ibu bapa ialah saya bekerja di sebuah firma keselamatan siber.

Saya juga memang paranoid dengan aspek keselamatan di Internet. Malah saya sudah sampai ke tahap memastikan Trinity atau Neo (isteri masih tidak tahu saya sudah memilih nama anak dan saya yakin dia tidak akan bersetuju) selamat daripada bahaya dunia Internet sehinggalah mereka dewasa. Begini contoh pemerhatian saya:

BAPA DIGITAL YANG PARANOID

1. Tempoh isteri sarat mengandung

Dalam tempoh ini, jika anda seperti saya yang memasang kamera untuk memantau isteri, anda memang perlu memastikan dia selamat. Siapa tahu mungkin ada orang lain yang sedang mengintai isteri anda! Jadi, perkara pertama yang saya lakukan ialah menyambungkannya dengan satu rangkaian keselamatan di rumah, menukar kata kunci dan kata laluan kamera.

2. Bayi sudah lahir

Kebanyakan ibu bapa gembira dengan kelahiran anak dan mula memuat naik gambar ke media sosial dan menghantarnya menggunakan aplikasi mesej. Jika tetapan privasi pada platform media sosial tidak digunakan, gambar itu boleh dilihat oleh sesiapa sahaja. Ada banyak kes ibu bapa mendapati gambar anak mereka digunakan oleh laman web penyeludupan bayi atau kanak-kanak. Jadi, berhati-hati dengan apa dan siapa anda kongsikan.

3. Tahun anak membesar

Bagi anak kecil, telefon pintar anda kelihatan seperti barang mainan. Bayangkan anda melihat telefon pintar dicampak atau pecah apabila dihempas ke lantai oleh si kecil. Kajian juga menunjukkan telefon pintar adalah antara peranti yang paling tercemar! Jadi, jauhkan telefon pintar dari anak anda!

4. Budak pintar

Kebanyakan ibu bapa suka membiarkan anak bermain permainan video pada telefon pintar atau tablet. Hidup dalam era digital, kanak-kanak moden pantas belajar. Mereka tahu untuk bermain permainan video dalam peringkat yang lebih tinggi, ia memerlukan kemahiran dan membeli aplikasi.

Kanak-kanak mungkin bijak dari segi teknologi, tetapi tidak apabila menyentuh soal wang. Jadi, daripada meminta bantuan ibu bapa, mereka biasanya hanya klik pada butang pembelian untuk terus bermain permainan video. Apabila ibu bapa menerima penyata kad kredit, mereka baru sedar ada pembelian permainan video yang mereka ingat tidak pernah dibeli sebelum ini.

Untuk mengelakkan perkara ini, jangan sambungkan mana-mana kad kredit dengan Google Playstore atau stor aplikasi. Aktifkan juga ciri ‘always prompt for purchase’ jika ada.

5. Pandai berpura-pura

Ini mungkin berlaku apabila anak diberi masa menggunakan komputer untuk membuat kajian atau menyiapkan kerja sekolah secara dalam talian. Kanak-kanak sememangnya cenderung untuk berseronok ketika menyiapkan kerja sekolah, terdorong untuk ke laman web lain atau bermain permainan video apabila tiada yang memerhati. Mereka juga bijak untuk bertukar ke mode membuat kerja sekolah apabila ibu bapa masuk ke dalam bilik.

Kebanyakan ibu bapa tidak tahu mengenai perkara ini. Tetapi dengan menggunakan ciri keselamatan seperti Kaspersky Lab’s Internet Security, mereka boleh menyekat akses ke laman web dan aplikasi tertentu. Malah mereka juga boleh mengehadkan penggunaan komputer dan peranti pintar ketika anak menelaah pelajaran.

6. Fasa remaja siber

Dengan jumlah rakan yang semakin ramai, penggunaan media sosial pun meningkat. Pada masa inilah anda mulai perasan telefon pintar anak semakin senyap, mereka juga sentiasa melihat skrin telefon dan ketawa seorang diri. Anak anda akan menambah senarai kawan termasuklah yang tidak dikenali, berkongsi perasaan di dalam talian, berkongsi gambar secara terbuka dan berbual dengan orang asing.

Sebagai ibu bapa, kita mesti mengajar etika menggunakan Internet. Anak mesti tahu apa yang berlaku hari ini akan berada di dalam talian selama-lamanya dan tingkah laku yang tidak betul boleh menjejaskan reputasi mereka di kemudian hari. Untuk membimbing mereka, ibu bapa perlu memantau dan berhati-hati dengan tingkah laku anak ketika menggunakan Internet.

Kaspersky Safe Kids membolehkan ibu bapa untuk memantau feed media sosial, perbualan dan mesej SMS anak. Bukan untuk mengintip mereka, tetapi lebih kepada memantau dan memberi ruang kepada anak dan ibu bapa berbual. Anak perlu sentiasa dipantau dan ibu bapa mesti berhati-hati dengan siapa atau apa yang mempengaruhi anak mereka.

7. Fasa Praremaja

Pada waktu ini, anak fikir mereka lebih bijak daripada orang dewasa. Kita dengar banyak kes apabila ‘sexting’ (mesej teks berbaur seksual) yang dihantar remaja atau orang dewasa bocor, dikongsi atau digunakan sebagai bahan untuk peras ugut. Pada usia ini anak sangat mudah dieksploitasi kerana emosi mereka sangat rapuh.

Sekali lagi, ibu bapa perlu mengingatkan anak apa yang berlaku di dalam talian akan kekal ada di sana. Mereka perlu diajar supaya tidak berkongsi perincian peribadi dengan sesiapa pun.

Kawalan ke atas anak saya mungkin berakhir di sini. Sebaik sahaja melepasi usia remaja, mereka dianggap sebagai orang dewasa yang boleh berfikir apa yang terbaik untuk diri sendiri. Mungkin sudah perlu mencari jalan untuk menjadi datuk era digital. Masanya mungkin masih panjang, tetapi sebagai seorang yang bakal menjadi bapa tidak lama lagi, saya rasa lebih baik paranoid untuk sebab yang betul.

Teks sumbangan Kapersky Lab

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 11:08am
d