hati

Malu ada parut jerawat

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Jerawat adalah masalah kulit biasa yang dialami kebanyakan remaja dan dewasa di negara ini. Oleh kerana ia dianggap masalah biasa, lazimnya parut jerawat yang terhasil pada wajah dibiarkan begitu saja.

Bagi kebanyakan individu, jerawat pulih tanpa meninggalkan kesan kekal pada kulit. Sebaliknya, ada individu yang terpaksa berdepan parut jerawat, sekali gus mempengaruhi semangat dan keyakinan.

Ramai yang mengakui kehadiran parut menimbulkan rasa malu apatah lagi jika ia disebabkan jerawat dan dapat dilihat dengan jelas di kawasan muka atau leher.

Lebih 85 peratus dewasa dan remaja berusia 12 hingga 25 tahun di seluruh dunia mengalami masalah parut jerawat pada wajah dan leher.

Kajian dijalankan mendapati, 31 peratus mengalami parut kerana kerosakan tisu dalaman selain pembentukan tanda hitam, bintik merah dan parut.

Malah, kajian turut mendapati 17 peratus remaja dan dewasa di negara ini kurang berkeyakinan manakala 18 peratus pula mengelak untuk bertemu rakan atau pelanggan kerana tidak selesa dengan keadaan kulit masing-masing.

Pengasas Medi-I Skin Studio, Dr Lim Ing Kien berkata, bagi mencegah parut, penting untuk kita mengetahui punca jerawat dan rawatan yang boleh dijalankan.

“Parut jerawat berlaku disebabkan jerawat yang teruk. Sesetengah parut disebabkan jerawat ringan boleh pudar dengan sendirinya. Namun, tanda dan parut jerawat gelap selepas kemunculan jerawat sederhana atau teruk biasanya memerlukan masa untuk dirawat.

“Parut jenis ini mempunyai bentuk serta saiz berbeza dan biasanya muncul pada masa sama. Justeru, langkah pertama untuk merawat parut jerawat adalah dengan mengenal pasti jenisnya sebelum menentukan rawatan bersesuaian.

“Ia penting untuk memastikan rawatan yang dipilih adalah terbaik berdasarkan masalah parut yang dihadapi bagi mencapai hasil optimum,” katanya.

Sementara itu, menurut Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ch’ng Chin Chwen, penularan jerawat wajah berlaku ke atas 67.5 peratus remaja di negara ini dengan trend yang semakin meningkat seiring peningkatan umur.

“Jerawat adalah masalah biasa namun ramai yang tidak memahami tanpa penjagaan kulit dan rawatan yang sepatutnya, ia berpotensi menyebabkan bintik hitam dan mungkin meninggalkan parut kekal,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen pendidikan #SayNo2Scars di ibu negara.

URUS DAN RAWAT

Pengurus Kanan dan Ketua Kesihatan Pengguna, Pengurusan Pemasaran Kesihatan Pengguna DKSH Malaysia Sdn Bhd, Pang Koon Yin berkata, hasil kaji selidik menunjukkan ramai antara kita tidak sedar ada satu penyelesaian untuk parut jerawat.

“Melalui kempen ini, kami mendidik masyarakat mengenai punca parut jerawat terbentuk dan membantu mereka mengurangkan kesan tanda gelap dan parut jerawat di samping memaksimumkan keyakinan diri,” katanya.

Sebagai sebahagian kempen ‘#SayNO2Scars’, Hiruscar Post Acne berkunjung ke lapan universiti sekitar Lembah Klang untuk mendidik pelajar mengenai proses kejadian parut dan keadaan kulit yang berbeza bagi membantu mencegah parut, sekali gus meningkatkan keyakinan diri.

Formula tiga dalam satu yang unik membantu mengurangkan kesan bintik hitam dan kemerahan selepas pemulihan jerawat bagi memulihkan keadaan parut yang dialami secara berkesan.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 11:29am
d