hati

Ajar kanak-kanak jana pendapatan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Setiap ibu mahukan yang terbaik dalam semua aspek untuk anak mereka. Namun, bukan semua mampu dicapai terutama bagi ibu berkerjaya yang perlu berkejaran menguruskan hal rumah tangga dan tugasan di pejabat.

Oleh itu, apabila anak menyampaikan hasrat untuk membeli barangan yang diidamkan pastinya ibu bapa akan meneliti pelbagai perkara termasuk kos mendapatkannya.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata berusia lapan, enam dan dua tahun ini, dia mempunyai cara tersendiri mendidik anak mengenai ilmu kewangan.

Biarpun masih anak kecil, Ida Faranina Othman, 36, memiliki alasan tersendiri untuk memastikan permata hatinya memahami bagaimana susahnya ibu bapa mencari duit membesarkan mereka.

Namun, tanpa ilmu yang mencukupi pastinya usaha berkenaan kurang mendapat sambutan anak sekali gus melunturkan semangat ibu bapa meneruskannya.

Sempena sambutan Hari Ibu kali ini, Ida Faranina berkongsi usahanya bagi mendidik kanak-kanak mengenai kewangan termasuk menyimpan agar mereka dapat memahami nilai wang itu sendiri sejak kecil.

Ketika ditemu bual, dia masih berada di Sweden bagi mengikuti program Forum Keusahawanan Sosial tajaan negara berkenaan. Ida Faranina antara peserta yang terpilih daripada 900 nama dan hanya dia yang mewakili Malaysia dan negara Asia.

Pada program berkenaan, peserta terpilih daripada perusahaan sosial akan diajar cara memantapkan perniagaan sedia ada dan meningkatkan impak yang diterima.

DIDIK SEJAK AWAL

“Ketika berpantang anak ketiga, anak pertama (enam tahun) dan kedua (empat tahun) meminta kasut roda. Saya jawab secara ringkas dan pantas, ibu tidak cukup duit kerana perlu membeli susu serta lampin adik.

“Jika mahukan apa-apa, kamu perlu cari duit sendiri. Mereka dengan pantas menjawab, ‘Okey, nak jual ayam goreng lah!’. Idea berkenaan diperoleh melalui inspirasi kartun Upin dan Ipin,” katanya.

Ujarnya, dia terpaksa menolak idea berkenaan kerana berpendapat ayam goreng kurang sihat untuk dijual dan membantu mereka mencari idea lain yang lebih menarik.

Kesudahannya, mereka mahu menjual sosej sihat keluaran rakan usahawan Ida Faranina sendiri. Selepas dua minggu menjual dan menghantar sosej sihat berkenaan kepada pelanggan, mereka berjaya mengumpul duit yang mencukupi untuk membeli kasut roda.

“Sejak itu, saya mula mendapat maklum balas daripada rakan mengenai cara didikan itu kepada anak. Bermula saat itu, rakan meminta jika saya boleh mendidik kanak-kanak lain menjana pendapatan sendiri.

“Enam bulan saya ambil masa untuk mencipta modul bersesuaian dengan usia mereka kerana saya tidak mempunyai pengalaman mengajar atau melatih kanak-kanak.

“Saya cuma seorang ibu dan usahawan sejak 15 tahun lalu membabitkan agensi pemasaran, pengiklanan, produksi dan pengurusan majlis, studio foto, pembekal hamper dan hadiah korporat, pembuatan kek serta pengurus majlis hari jadi kanak-kanak,” katanya.

Jelasnya, disebabkan permintaan daripada rakan dan ahli keluarga, dia mula menjalankan bengkel, ‘Grow the Goose’ untuk mengajar kanak-kanak menjana pendapatan sendiri dan teknik penyimpanan wang bersistem sejak September 2015.

Ia program keusahawanan sosial dan setiap kali bengkel berbayar dijalankan, 60 peratus daripada keuntungan bersih akan diagihkan untuk menjalankan bengkel secara percuma kepada kanak-kanak memerlukan.

Visinya adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang mempelajari ilmu pengurusan kewangan tanpa mengira latar belakang ekonomi atau sosial mereka.

“Didikan awal ini penting bagi mengelak berlaku masalah seperti bankrap pada usia muda. Sebaik-baiknya, didikan dan pendedahan awal mengenai kewangan boleh diberikan apabila anak sudah pandai meminta mainan atau barangan diinginkan iaitu kira-kira usia tujuh tahun.

“Untuk melatih anak menyimpan dan tidak boros, ada beberapa cara yang boleh dicuba. Misalnya, jangan terlalu senang membeli mainan atau belanja anak walaupun mereka membuat muka moyok atau merajuk.

“Selain itu, jangan terlalu mudah memujuk anak dengan mengumpan permainan, gajet atau belanja sebaliknya beri mereka peluang berusaha menjana pendapatan sendiri walaupun keuntungan yang diterima sedikit.

“Ia bertujuan melatih anak mengenal nilai wang dan menyedarkan mereka kesusahan ibu bapa mencari duit setiap hari,” katanya.

Pengasas Grow the Goose yang berasal dari Petaling Jaya ini berkata, dia mendidik anaknya dengan membuat kerja sampingan dan projek menjual pada hujung minggu atau cuti sekolah.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah menyapu daun, memotong rumput, menjual sosej sihat, buah mangga, biskut dan kek atau pokok buatan sendiri.

Setakat ini dia sudah mengadakan 26 bengkel berbayar membabitkan 988 peserta dalam lingkungan umur tujuh hingga 17 tahun selama hampir 20 bulan beroperasi.

Malah, dia berjaya menjalankan enam bengkel percuma untuk 79 anak yatim, miskin bandar, anak Orang Asli untuk dilatih ilmu kewangan.

Antara program yang berjaya dilaksanakan sendiri oleh peserta selepas menghadiri bengkel berkenaan adalah:

1. Asyraf the Junior Pilot, 9 tahun.

2. Shailaja’s Bloom Teas, 7 tahun.

3. Naim the Artist, 14 tahun.

4. Hannah, Hannah’s Specialties, 10 tahun.

5. Iszuddin, Save the Leatherback Sea Turtles, 11 tahun.

6. Penulis buku ‘Adventure to Wonder’, Natasha, 11 tahun. Dia berjaya menulis dan menerbitkan buku sendiri dalam masa enam bulan dan menjual 400 naskah dalam masa 10 hari dilancarkan.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 11:42am
d