hati

Ambil kira kegemaran pelanggan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Warna memainkan peranan penting dalam penampilan. Sama ada terang atau pastel kedua-duanya menghasilkan penggayaan tersendiri untuk wanita tampil anggun dalam acara dihadiri mereka. Kepelbagaian warna membolehkan pelanggan membuat pilihan tema menjelang lebaran.

Menurut pengasasnya, Hafiza Abd Hamid untuk himpunan raya 2017, Minaz memberi sedikit kelainan dengan menyediakan rekaan terhad menerusi koleksi Luxe Raya yang menampilkan pelbagai jenis potongan kurung dan gaun dalam pelbagai warna. Setiap rekaan mengambil kira kegemaran pelanggan yang inginkan gaya elegan dan lebih eksklusif untuk dipakai pada hari lebaran.

“Untuk koleksi Luxe Raya, kami memberi tumpuan kepada perincian manik, batu permata dan ropol dengan tiga lapisan bagi memberikan kesan lebih memukau. Tampalan bunga tiga dimensi dan bulu halus menjadikan busana lebih menyerlah. Didatangkan dalam rona jingga, lavender dan biru,” katanya.

Koleksi Blooming Raya 2017 pula menyuntik nafas baru dalam industri fesyen Malaysia apabila rekaan ditampilkan memberi tumpuan bukan saja kepada fabrik dan warna tetapi perincian yang kemas dan teliti. Menggunakan fabrik lembut taffeta, potongan kurung dengan perincian halus di pinggang menonjolkan gaya pemakai.

Walaupun mengeluarkan banyak koleksi kurung moden, potongan peplum dan ekor ikan, ia masih memenuhi kehendak pelanggan yang inginkan gaun lembut beralun menerusi gaun Rossa, yang dikemaskan manik pada tangan dan pinggang.

Istimewanya tahun ini, jenama ini membuat penampilan sulung menerusi koleksi bayi seiring dengan kelahiran anak bongsu pengasasnya. Pada masa yang sama Hafiza membuat kejutan dengan mengambil dua selebriti iaitu Rozita Che Wan dan anaknya Aaisyah Dhia Rana sebagai duta dan muka depan Minaz Raya 2017.

“Kedua-dua selebriti ini diambil disebabkan populariti mereka di media sosial manakala Aaisyah muncul dalam rancangan sendiri iaitu Little Princess Aaisyah. Dengan jumlah pengikut yang ramai kedua-dua ibu dan anak ini sentiasa mendapat perhatian bukan saja aktiviti sosial mereka tetapi juga fesyen dan solekan,” katanya.

Bagi yang inginkan gaya sedondon, Koleksi Blooming Raya 2017 menampilkan potongan peplum ibu dan anak yang didatangkan dalam tiga warna iaitu putih, magenta dan hijau epal. Juga untuk bayi gaun labuh Carla Lacey dihiasi renda sehingga ke kaki bersama alas kain penuh

di dalamnya. Semua koleksi raya ini boleh diperoleh di butiknya di seluruh negara atau menerusi portal beli-belah Zalora.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 7:43am
d