hati

Tarikan baru beli-belah

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Pasar raya premium Mercato Pavilion, baru-baru ini memperkenalkan wajah baru premis yang diubah suai untuk pengalaman membeli-belah yang lebih selesa, tenang, berkualiti dan menyeronokkan.

Menampilkan ciri ruang mewah dan lorong antara rak yang lebih luas, Mercato bukan sekadar berubah wajah, tetapi turut membawakan kelainan dari segi persembahan dan produk.

Pelbagai produk premium tersedia untuk memenuhi keperluan, selain pilihan makanan antarabangsa. Dua tarikan baru yang turut diperkenalkan adalah Oyster & Seafood Bar by Mercato serta Mercato Cafe!

Terletak di lokasi strategik, ia sememangnya menjadi tumpuan pelanggan tempatan, pelancong dan pekerja di sekitar ibu kota. Dengan tarikan baru yang disediakan, pasar raya kini cukup sesuai dijadikan pilihan untuk menghabiskan masa melepak bersama rakan dan keluarga sambil membeli-belah.

Pilih saja menu yang ada bermula dengan hanya secawan kopi segar hinggalah hidangan tiram segar. Semuanya boleh dinikmati dalam suasana mewah, selesa dan tenang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd Pierre Olivier-Deplanck, Mercato sememangnya terkenal dengan kepelbagaian produk berkualiti yang diperoleh daripada pengeluar terbaik tempatan mahupun antarabangsa.

“Bagaimanapun, di samping memberikan yang terbaik untuk pelanggan, kami juga perlu terus berinovasi dengan produk dan perkhidmatan sedia ada. Kami percaya, dengan menggabungkan tabiat membeli-belah dan rasa cinta seseorang terhadap makanan dan elemen menyeronokkan, ia mampu membawa pelanggannya meneroka pengalaman yang lebih unik lagi.

“Mercato mengembangkan konsep barunya dari sekadar membeli-belah barangan keperluan rumah kepada lebih banyak pengalaman baru yang menyenangkan. Kini, pelanggan bukan sahaja berpeluang membeli produk premium malah boleh bersantai dan memanjakan diri dengan menikmati pelbagai pilihan menu lazat yang disediakan di sini,” katanya.

Memperluaskan perkhidmatannya, pasar raya ini menawarkan penghantaran percuma untuk setiap pelanggan yang berbelanja RM200 atau lebih, dalam jarak 10 kilometer dari premis. Sebagai alternatif tambahan, pelanggan juga boleh mendapatkan bantuan untuk menghantar barang yang dibeli terus ke kereta.

Pada majlis pelancaran itu, Olivier-Deplanck membawa tetamu menikmati keseronokan membeli-belah sambil mencuba pelbagai hidangan dan snek premium yang disediakan di sini.

Antara yang diberi fokus adalah pilihan makanan daripada negara Asia seperti Jepun, Korea, Taiwan dan Timur Tengah. Ia diselang-selikan dengan pengenalan produk tempatan terbaik untuk tarikan pelancong luar.

Menariknya, Mercato juga meluaskan pasaran daging segarnya dengan kambing Dorper, daging lembu Wagyu dari Australia dan pelbagai pilihan daging sebelum diperap. Sementara makanan laut seperti salmon dan kerang diterbangkan segar daripada negara pengeluar.

“Kita juga meningkatkan pilihan buah segar tempatan dan import. Manakala sayur-sayuran ditingkatkan 20 peratus, menampilkan lebih banyak pilihan dari Australia, Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 10:43am
d