hati

Juadah 16 jenis rendang

Rendang ayam Minangkabau, rendang tok dan rendang ayam kerisik antara 16 jenis rendang yang bakal disajikan di The Resort Cafe, Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway untuk juadah berbuka puasa.

Hidangan berkenaan menjadi juadah utama dalam bufet Ramadan kali ini kerana ia sajian kegemaran rakyat Malaysia pelbagai lapisan masyarakat yang sering dihidangkan dalam acara tradisi dan musim perayaan.

Rendang lain yang disajikan secara bergilir seperti rendang daging Minangkabau, rendang daging dan ayam Rembau, rendang daging Mamu dan nyonya, rendang berempah hitam Pasir Mas, rendang ayam serai, rendang ayam Gelang Patah dan rendang hati.

Sebanyak 18 jenis nasi turut disajikan bagi melengkapkan juadah rendang, antaranya nasi tomato, hujan panas, kunyit ayam, pelangi, ulam, minyak nanas, briyani, Arab dan beringin.

Pengarah Kumpulan Jenama Pemasaran dan Komunikasi hotel, Farizal Jaafar berkata, bufet Ramadan kali ini bertemakan ‘Jemput Makan’ yang juga pepatah yang lazim diucapkan masyarakat kita ketika menerima kunjungan tetamu.

“Kumpulan 20 jurumasak khas diketuai Cef De Cuisine Parthiban Nalliah bertungkus-lumus menyediakan juadah yang diwarisi generasi ke generasi dan menjadi kegemaran sepanjang zaman.

“Selera pasti terpukau dengan aroma dan kepelbagaian juadah nostalgia dan tradisional negara ini yang jarang ditemui,” katanya.

Selain itu, peminat stimbot juga pasti rambang mata dengan 70 pilihan makanan dengan lima jenis kuah asam laksa, tom yam, asam pedas, Sichuan dan sup putih.

Bufet bermula pada 27 Mei hingga 24 Jun ini jam 6 petang hingga 10.30 malam pada kadar RM188 seorang dewasa dan warga emas, manakala kanak-kanak enam hingga 12 tahun adalah RM98. Tempahan awal mulai sekarang hingga 26 Mei ini berpeluang menikmati potongan kepada RM118 seorang.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 10:13am
d