hati

Segarkan kembali wajah anda

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Wajah yang kelihatan lesu dan kusam sedikit sebanyak mencacatkan penampilan wanita malah ia mungkin mengurangkan keyakinan diri ketika berdepan khalayak.

Tampil dengan wajah berseri-seri tanpa mengenakan solekan tebal membuatkan sesiapa saja tertarik. Hakikatnya, untuk mendapatkan wajah sihat dan cantik tidak memerlukan belanja terlalu mahal atau perlu mengambil suntikan tertentu yang tidak diketahui kesan sampingannya.

Berikut antara langkah yang boleh diamalkan untuk menaikkan seri dan menyegarkan kembali wajah anda.

AIS

Sebaik bangun tidur, oles wajah dengan ketulan ais. Ini dapat membantu memberi kesegaran pada wajah di samping menegangkan kulit. Anda juga boleh gantikan ais dengan air sejuk. Bilas wajah setiap pagi dengan air sejuk untuk melihat kesan yang memuaskan hati.

SENAMAN WAJAH

Seperti anggota tubuh yang lain, wajah juga memerlukan senaman. Senaman ringan ini membantu meredakan otot pada wajah dan membekalkan oksigen. Bukan susah, senaman wajah yang paling mudah dan berkesan adalah dengan mengunyah gula-gula getah. Lakukan dengan kerap dan perhatikan perubahan pada wajah anda.

ELAK TEKANAN

Ramai yang mengambil mudah, tetapi anda perlu tahu tekanan bukan saja mengganggu emosi malah boleh menghakis kecantikan semula jadi. Tekanan menyebabkan proses penuaan berlaku dengan pantas dan membuatkan wajah tampak lesu. Oleh itu, anda perlu atasi tekanan dengan bijak. Senyuman dan gurau senda antara tip berkesan untuk mengurangkan tekanan.

JAGA WAKTU TIDUR

Tidur yang cukup sangat penting kerana ketika tidur, kulit akan memperbaharui sel. Anda mesti mendapatkan rehat dan sesekali manjakan tubuh di spa. Perlu diingat, tidur yang berlebihan turut memberi kesan sampingan yang tidak baik. Bukan saja wajah tampak kusam dan mata sembap, malah tabiat buruk itu membuatkan tubuh lesu.

URUTAN

Wajah dan tubuh perlu diurut sekurang-kurangnya sebulan sekali. Teknik urutan pada wajah akan membantu melancarkan perjalanan darah, membuang angin, mengatasi keletihan dan menjadikan wajah segar serta berseri. Urutan dengan teknik khusus sama ada secara manual atau mesin juga dapat membantu membentuk wajah lebih menarik.

REBUSAN DAUN INAI

Dulu wanita lebih memanfaatkan bahan semula jadi di sekitar rumah untuk menjaga kecantikan dalaman dan luaran. Hanya mengamalkan minuman air rebusan daun inai, wanita dulu mampu menaikkan seri wajah tanpa mengeluarkan wang. Lebih menarik, amalan dua kali seminggu membuatkan wajah tampak kemerahan tetapi jangan pula berlebihan kerana cara ini boleh mengeringkan kulit.

MAKAN IKUT WAKTU

Bagi mengekalkan kesegaran tubuh, waktu makan perlu teratur. Maknanya, kita perlu bersarapan (sebaik-baiknya dalam tempoh dua jam selepas bangun tidur), makan tengah hari dan malam. Untuk makan malam, usahakan ia diambil sebelum Maghrib bagi memberi masa secukupnya kepada perut mencerna makanan sebelum kita tidur. Untuk snek antara waktu makan utama, ambillah sajian sihat yang rendah kalori seperti buah-buahan, yogurt dan roti bakar.

Menjelang Ramadan ini, usahakan melengahkan sahur seperti disarankan Rasulullah SAW. Ia bukan saja penting untuk anda, malah boleh membantu mengurangkan rasa lapar khususnya bagi anak anda yang masih bersekolah.

BERSENAM

Ini kaedah yang sangat penting untuk kekal cantik, sihat dan bertenaga. Bagi yang tidak biasa, mulakan sesi senaman anda dengan berjalan 15 hingga 20 minit. Perlahan-lahan panjangkan tempoh senaman dan tingkatkan intensiti riadah anda. Pada mulanya memang anda rasa letih, tetapi selepas beberapa hari, anda akan dapati senaman sebenarnya meningkatkan kecergasan dan membuatkan anda tampak lebih gembira dan bersemangat - ciri penting yang membuatkan kita nampak lebih berseri.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 12:04pm
d