hati

Lelaki ke turki tanam rambut

Oleh Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Seperti pelancong lain yang bercuti di Turki, Jameel juga memasukkan lawatan ke Masjid Biru dan bersiar-siar menikmati keindahan Bosphorus dalam senarai yang perlu dilakukannya.

Namun dia ada satu perkara tambahan yang penting baginya untuk mendapatkan rawatan penanaman 1,500 helai rambut di kepalanya. Sejak akhir-akhir ini nama Istanbul disebut-sebut sebagai destinasi pilihan bagi rawatan keguguran rambut yang dialami ramai orang termasuk lelaki.

Di Istanbul saja ada lebih 300 klinik yang menawarkan khidmat menanam rambut. Ia menjadikan Istanbul sebagai hab kepada industri yang semakin berkembang itu dan menarik perhatian pelanggan dari seluruh dunia khususnya Timur Tengah dan Negara Teluk.

Pakar bedah berpengalaman, teknologi terkini dan kos yang agak rendah menjadi daya penarik. Industri penanaman rambut yang berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini melonjakkan nama Istanbul dan mula merancakkan kembali sektor pelancongannya yang terjejas teruk selepas serangan keganasan pada 2016.

“Saya datang ke Turki untuk rawatan penanaman rambut dan melancong. Turki ada reputasi yang baik untuk rawatan ini,” kata Jameel, 27, warga Palestin yang enggan mendedahkan nama penuhnya selepas keluar dari bilik bedah di salah sebuah hospital di Istanbul.

Menurut Faisal Abu Ahmad dari Arab Saudi, dia mengikut jejak langkah bapa saudaranya yang mendapatkan rawatan penanaman rambut di negara itu.

“Keguguran rambut yang teruk memaksa saya datang ke sini untuk mendapatkan rawatan. Saya perlu ambil tindakan segera sebelum tompok botak di kepala semakin besar,” katanya.

Di hab pelancongan di Istanbul seperti Dataran Taksim, tidak sukar melihat pelancong lelaki botak (kerana rambut dicukur) dan kepala berbalut sedikit yang menandakan mereka baru menjalani pembedahan. Bahkan pada tampalan itu terpapar nama klinik yang mereka kunjungi.

Keadaan ini menjadi semakin lazim sehingga ada orang berjenaka mengatakan lelaki kepala berbalut boleh menjadi simbol baru Istanbul.

“Harga yang ditawarkan sangat menarik. Bagaimanapun, elemen kedua terpenting ialah kualiti rawatan,” kata Pengurus Besar Clinic Expert, Talip Tastemel.

“Dalam soal pembedahan kosmetik dan penanaman rambut, Turki memang jauh ke depan. Jadi pelanggan sebenarnya ‘membeli’ rawatan berkualiti tinggi pada harga satu perempat daripada harga normal yang ditawarkan di negara lain,” jelasnya.

PAKEJ 4 DALAM 1

Pakej yang ditawarkan kepada pelanggan luar negara termasuk khidmat pengangkutan dari lapangan terbang, penginapan di hotel, pembedahan dan lawatan. Untuk pakej berharga 1,200 euro (RM5,678), pelanggan menikmati ‘percutian’ tiga hari di Istanbul dan rawatan berkualiti tinggi sedangkan kos rawatan yang sama boleh mencecah 6,000 euro (RM28,895) jika dilakukan di Eropah dan harga ini mungkin rendah sedikit di Timur Tengah.

Dalam pembedahan itu dilakukan teknik Pengekstrakan Unit Folikel (FUE) di mana rambut halus dicabut satu demi satu dari kawasan yang masih ada rambut seperti di pangkal tengkuk.

Selepas dicabut, rambut halus itu ditanam di bahagian yang botak. Prosedur ini biasanya memakan masa antara lapan hingga 10 jam. Rambut halus yang ditanam itu mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk berakar dan tumbuh.

Perunding Persatuan Pelancongan Kesihatan, Emre Ali Kodan berkata, 5,000 pelancong asing menjalani pembedahan penanaman rambut di Turki setiap bulan dan kebanyakannya datang dari Timur Tengah dan Semenanjung Arab termasuklah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

“Tahun ini kami me–nyasarkan peningkatan 10 peratus dengan 6,500 pembedahan sebulan,” katanya. Menariknya, pelancong dari Greece, Itali dan Russia juga menunjukkan minat.

Talip Tastemel berkata, sektor rawatan rambut menunjukkan kekebalannya walaupun industri pelancongan terjejas kerana dalam masa tiga bulan pertama tahun ini, ia mencatatkan ke–untungan lebih 17 peratus berbanding tempoh sama pada 2016. Ini menunjukkan sektor pelancongan kesihatan terus mendapat perhatian.

AKSESORI LELAKI

Sebagai ahli farmasi, Jameel berkata, dia mencuba banyak ubat untuk menghentikan keguguran rambutnya, tetapi semuanya tidak berkesan.

“Pada usia ini, kehila–ngan rambut memberi impak besar pada penampilan anda. Inilah sebabnya sebaik saja rambut mula gugur, anda perlu segera berusaha mencari langkah mengatasi masalah ini,” sambungnya.

Menurut Tastamel lagi, lelaki juga perlu berasa bangga dengan rambut mereka.

“Secara jujurnya, lelaki tidak ada banyak aksesori untuk menghias diri kecuali kereta, jam tangan dan rambut. Lelaki tidak bersolek seperti wanita. Jadi penampilan seseorang lelaki itu banyak dipengaruhi rambut. Kalau kehilangan rambut, seolah-olah ada sesuatu yang diambil daripada anda,” katanya.

Clinic Expert misalnya menawarkan pelbagai pembedahan kosmetik, tetapi penanaman rambut paling popular.

“Dalam perubatan, anda tidak boleh menjanjikan kejayaan sepenuhnya. Kadang- kala ada yang tidak berjaya, tetapi dalam penanaman rambut, kegagalan ini sangat minimum. Kalau anda mendapatkan rawatan dari klinik yang dipercayai, dirawat doktor bertauliah dengan teknik terkini, kejayaan boleh mencecah 100 peratus,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 2:13pm
d