hati

Bantu kurangkan tekanan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Menikmati manisan di kala cuaca panas atau selepas makan hidangan utama pastinya memberikan satu kepuasan kepada peminatnya. Malah, manisan juga enak dimakan ketika minum petang bersama rakan mahupun seisi keluarga.

Biarpun ada sesetengah daripada kita kurang menggemari manisan kerana rasanya yang manis, namun ada individu yang begitu menggemarinya hinggakan menjadi ‘kemestian’ menikmatinya setiap hari.

Justeru, tidak hairanlah wujud pelbagai jenis manisan yang lebih moden dan mengikut trend semasa bagi memenuhi keinginan pencinta manisan.

Apapun alasannya, bersederhanalah dalam menikmati manisan agar tidak mengundang masalah berat badan berlebihan atau penyakit kronik yang lain.

KARNIVAL MANISAN

Manisan jika dimakan dengan cara yang betul dan tidak diambil secara berlebihan juga memberi manfaat kepada tubuh seperti coklat yang terkenal dapat membantu mengurangkan tekanan.

Bagi menghangatkan lagi industri manisan yang kini semakin diminati ramai, karnival Sugar Treats diadakan pada 13 Mei lalu di Red Carpet Avenue, Strand Mall anjuran Adiwangsa Event dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut pengurus projek, Muhammad Asyraf Md Taha, 23, ia adalah projek tahun akhir dikendalikan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis (Kepujian) universiti berkenaan.

“Projek tahun akhir ini memilih manisan untuk diketengahkan bagi membantu mempromosi industri konfeksi secara lebih meluas dalam kalangan orang awam.

“Industri konfeksi adalah perniagaan yang berkaitan dengan manisan seperti kuih, kek dan coklat. Justeru, karnival seperti ini perlu dilakukan bagi membantu memberi peluang usahawan tempatan mempromosikan produk keluaran mereka.

“Program seperti ini membantu meningkatkan pendapatan usahawan, seterusnya menyokong industri keusahawanan ini supaya diminati ramai,” katanya.

Acara berkenaan dirasmikan cef selebriti, Muhd Naim Ramli yang turut dipilih sebagai ikon dalam karnival berkenaan. Terdapat pelbagai aktiviti yang berlangsung sepanjang program itu seperti penjualan oleh vendor konfeksi dan manisan, trak makanan, pertandingan mewarna, demonstrasi manisan, sesi perkongsian mengenai pemakanan gula-gula bersama juara MasterChef Malaysia All Stars, Arshad Zamir Mohd Azmi dan teater kanak-kanak.

Selain menghangatkan industri konfeksi, matlamat karnival berkenaan diajurkan juga untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Sebahagian keuntungan program berkenaan dan dana sumbangan orang awam disalurkan ke sekolah kanak-kanak gelandangan, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.

PELUANG ‘MANIS’ UNTUK USAHAWAN

Acara yang diadakan sehari itu juga memberi peluang kepada usahawan manisan yang terdiri daripada pelajar serta orang awam memperkenalkan produk masing-masing.

Pengasas Akis yang beroperasi di Terengganu dan terkenal dengan produk kek keju mangganya, Khoirunnisah Mohd Kadiman sanggup hadir ke acara berkenaan untuk bersama-sama menjayakan karnival itu biarpun tinggal jauh di pantai timur.

“Apabila mendapat tahu acara ini dikendalikan pelajar tahun akhir, saya tidak teragak-agak membantu menjayakan program ini selain dapat memperkenalkan jenama kek keju mangga di kawasan ini.

“Saya tertarik melihat cara pelajar ini mempromosikan karnival berkenaan secara meluas melalui media sosial dan daripada mulut ke mulut. Pastinya, usaha mereka harus dipuji kerana ia melebihi jangkauan seperti diharapkan,” katanya.

Sementara itu, menurut pengunjung dari Ampang, Nururl Falaah Zainal Abidin, 22, acara berkenaan menarik perhatiannya dan juga rakan untuk hadir mengunjungi karnival itu.

“Di samping memenuhi masa terluang, banyak maklumat mengenai manisan yang saya dapat apabila berkunjung ke sini, apatah lagi saya juga menjalankan perniagaan secara sambilan menjual kek brownies secara dalam talian.

“Pada masa sama, saya memang sukakan manisan dan secara tidak langsung dapat menyokong dengan membeli produk usahawan tempatan,” jelasnya yang turut bekerja sebagai model sambilan.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 2:22pm
d