hati

Detik indah si manja

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Detik si kecil tersayang mengungkapkan perkataan pertama antara saat paling indah yang dinantikan setiap ibu bapa. Secara umumnya, bayi mula belajar bercakap menerusi individu yang berada di sekeliling atau kerap bersamanya.

Lazimnya, bayi mula memberi tindak balas sebaik saja mereka dilahirkan manakala kanak-kanak normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan hingga setahun setengah.

Enam bulan pertama saat yang amat penting apabila ibu bapa perlu berkomunikasi dengan bayi mereka dalam usaha merangsang kanak-kanak bercakap.

Seawal usia 10 hingga 12 bulan, bayi lazimnya sudah boleh mengungkapkan beberapa perkataan penting yang selalu didengarinya seperti papa, mama, baba, ibu dan umi.

Berikut beberapa panduan perkembangan percakapan bayi dan kanak-kanak mengikut usia. Kanak-kanak yang menunjukkan pencapaian 75 peratus daripada perkembangan pertuturannya boleh dianggap normal.

Namun, sekiranya terdapat sebarang masalah berkaitan perkembangan pertuturan anak, rujuklah pakar dengan segera.

Bayi baru dilahirkan

Boleh mendengar dan membezakan sama ada bunyi datang dari kiri atau kanan. Mereka akan menggerakkan kepala ke arah sumber bunyi itu.

Bayi anda juga sepatutnya boleh memberi tindak balas terhadap bunyi perlahan. Bayi mula senyum dan menunjukkan gerak balas kepada seseorang pada usia sebulan dan mengenali suara ibu bapa pada usia satu hingga dua setengah bulan.

Bayi usia tiga bulan

Bayi boleh meniru bunyi percakapan.

Bayi usia empat bulan

Bayi boleh menyebut satu suku kata contohnya ba, da, ga, gu.

Bayi usia lima bulan

Bayi menyebut beberapa suku kata berulang-ulang contohnya bababa dan lalala.

Bayi usia enam bulan

Bayi mula menyebut perkataan mudah yang kerap didengar seperti emak, ayah atau tak.

Bayi usia tujuh bulan

Kebanyakan bayi boleh menyebut mama dan dada yang tidak hanya merujuk kepada ibu dan ayahnya.

Bayi usia lapan bulan

Kebanyakan bayi boleh mengikut atau mematuhi arahan pendek yang disertakan dengan pergerakan badan atau tangan. Contohnya, meminta dia memegang objek atau tangan anda.

Bayi usia sembilan bulan

Dalam lingkungan usia ini, bayi sepatutnya boleh mematuhi arahan ringkas tanpa perlu ditunjuk dengan tangan.

Bayi usia 10 bulan

Sudah pandai menggunakan perkataan mama, emak atau ayah dengan betul.

Bayi usia 11 bulan

Biasanya sudah boleh menyebut satu patah perkataan selain emak atau ayah.

Bayi usia 12 bulan (setahun)

Sepatutnya bayi boleh menunjuk ke arah objek yang dikehendakinya.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 12:31am
d