hati

Faktor genetik bentuk personaliti

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tunduk diam, tidak menjawab apabila ditanya dan tidak suka bergaul. Pastinya tingkah laku itu membimbangkan ibu bapa apabila ia terjadi kepada anak tersayang.

Sikap pendiam anak terutama apabila berdampingan dengan orang yang tidak dikenali atau di luar kelompok keluarga sering membuatkan ibu bapa bimbang apabila memikirkan keupayaan si kecil itu untuk menyesuaikan dirinya ketika menjejakkan kaki ke alam persekolahan kelak.

Kanak-kanak pendiam sering kali tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan yang diajukan sedangkan mereka tahu jawapannya. Ini berlaku disebabkan pelbagai faktor.

Antara faktor yang mempengaruhi sikap pendiam seseorang kanak-kanak ialah genetik, pendedahan ibu bapa kepada ilmu bersosial, persekitaran, gaya hidup dan asuhan penjaga atau pengasuh.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia, Ko Teik Yen berkata, faktor genetik memainkan peranan penting dalam pembentukan personaliti kanak-kanak.

Menurutnya, sikap kanak-kanak yang tidak mahu bercakap, enggan bergaul dan mempunyai personaliti seolah-olah tidak suka bersosial kebiasaannya disebabkan faktor genetik yang diperoleh daripada keturunannya.

Kebiasaannya, apabila salah seorang ibu atau bapa kurang bercakap atau pendiam, anaknya mempunyai potensi lebih besar untuk mewarisi sikap itu.

“Anak mungkin tidak boleh ‘lari’ daripada memiliki genetik pendiam, tetapi mereka boleh diasuh dan diberi pendedahan kepada ilmu bersosial. Namun, jika tiada pendedahan diberi kepada anak, mereka akan terus-menerus menjadi pendiam dan inilah sebabnya interaksi sosial sukar untuk diterapkan apabila memasuki alam persekolahan.

“Disebabkan itu, dorongan dan didikan ibu bapa serta individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kanak-kanak amat penting kerana ia dapat memberikan pengaruh besar dalam pembentukan keperibadiannya, sekali gus menentukan sikap kanak-kanak terbabit,” katanya.

ASUHAN DAN BIMBINGAN

Menurut Ko, perwatakan pendiam itu boleh dibezakan mengikut asuhan yang diterima daripada penjaganya.

“Kita boleh membezakan kanak-kanak yang tinggal di pusat asuhan dengan di rumah. Di pusat asuhan, kanak-kanak lebih banyak bergaul, mudah mesra, tidak pemalu, keletah dengan ramai rakan yang pelbagai usia berbanding anak yang duduk di rumah kerana hanya ditemani ibu, datuk, nenek atau pembantu rumah.

“Namun sekiranya penjaganya rajin melayan si kecil untuk berkomunikasi dan menggalakkannya bercakap, sikap pendiam boleh diatasi kerana pengaruh asuhan mempunyai kuasa yang agak besar dalam pembentukan keperibadian kanak-kanak,” katanya.

Ko berkata, kanak-kanak menjadi pendiam disebabkan asuhan di peringkat tumbesaran dan gaya hidupnya. Kanak-kanak memerlukan rangsangan daripada ibu bapa untuk mengajar mereka berinteraksi dengan persekitaran.

“Inilah sebabnya cara asuhan yang diterima dan pendedahan kepada persekitaran penting dalam menentukan sikap pendiam kanak-kanak selain faktor genetik yang memang ada dalam diri mereka.

“Kanak-kanak pendiam perlu diajar cara berinteraksi dan didedahkan dengan persekitaran yang melebihi sempadan adik-beradik dan saudara-mara iaitu mereka perlu dibiarkan bersosial dengan rakan sebaya, jiran atau rakan ibu bapa,” ujarnya.

Katanya, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh terbaik dalam bersosial iaitu sentiasa menegur sapa jiran tetangga atau sering bertanya khabar rakan baik.

Lain pula fenomena apabila kanak-kanak yang pada awalnya peramah tetapi tiba-tiba berubah menjadi pendiam.

“Mungkin ada sesuatu yang berlaku. Mereka mungkin berada dalam keadaan tertekan atau bermasalah. Jangan sangka orang dewasa saja yang tertekan dan ada masalah. Kanak-kanak juga ada masalah sesuai dengan dunia mereka. Justeru, ibu bapa dan ahli keluarga perlu memerhati setiap perubahan personaliti anak-anak.

“Kanak-kanak ini mungkin mengalami penderaan seksual secara fizikal dan psikologi. Penderaan boleh menyebabkan tingkah laku mereka berubah, lebih suka menyendiri dan menjadi pendiam,” katanya.

Tambah Ko, atas faktor itu, ibu bapa perlu memerhatikan setiap perubahan yang terjadi pada anak mereka bagi memastikan tumbesaran si kecil sentiasa terkawal.

“Pengaruh gajet atau telefon bimbit juga semakin membimbangkan kerana kajian mendapati kanak-kanak cenderung untuk mendiamkan diri dan menyendiri sekiranya terlalu terdedah dengan alat teknologi itu.

“Jangan biarkan mereka taasub dengan gajet dan kawal gerak-geri anak supaya perkara negatif tidak mempengaruhi pemikiran mereka yang akhirnya merosakkan keperibadian kanak-kanak itu,” ujarnya.

Ko berkongsi beberapa kaedah yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kemahiran komunikasi kanak-kanak:

- Banyakkan komunikasi, bercerita dan menggalakkan anak bercerita mengenai perjalanan hariannya kepada anda. Untuk menggalakkan anak bercerita, anda boleh bertanya mengenai rakan baiknya dan peristiwa menarik pada hari itu.

- Mencari idea untuk memastikan anak gemar mengadu atau bercerita kepada anda.

- Sentiasa menunjukkan contoh sifat peramah seperti bergaul mesra dengan saudara-mara serta jiran tetangga.

- Minta pandangannya dalam perkara yang membabitkan dirinya, contohnya warna baju, peraturan di rumah atau perancangan menu keluarga.

- Yakinkan pada dirinya, dia seorang yang berani dan kerap memuji.

- Jangan sesekali memperkecil-kecilkan dirinya kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 1:35am
d