hati

Kopi penyental badan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Aroma segar serbuk kopi yang dibancuh air semerbak memenuhi ruang hadapan Beringin Spa & Beauty. Terasa keenakannya, namun kopi yang disediakan bukan untuk dijadikan hidangan sebaliknya sebagai bahan penyental badan untuk pelanggan.

Terkenal sebagai bahan perawatan badan, sejak dulu lagi kopi dijadikan bahan utama untuk menghalus dan melembapkan kulit. Ini kerana kandungan kafein yang terdapat di dalamnya boleh menanggalkan sel kulit mati, terutama bagi yang memiliki kulit kering dan mengelupas.

Ini diakui Pemilik Beringin Spa & Beauty, Nurul Husna Md Isa yang menyediakan rawatan lulur dan sental menggunakan serbuk kopi sebagai salah satu perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Menggunakan campuran serbuk kopi asli diadun bersama sedikit gula, campuran ini memberikan rasa melekit bagi memudahkan proses membuang kotoran dan daki.

“Gula yang dicampur bersama kopi sebagai agen lekatan agar serbuk kopi melekat pada kulit. Kemudian campuran ini disapu ke seluruh badan dengan cara menggosok perlahan-lahan. Kemudian dibiarkan selama 10 hingga 15 minit supaya kafein meresap ke dalam kulit,” katanya.

Biji kopi yang dihancurkan dan diusap pada badan mampu mencerahkan kulit sekali gus menjadi lebih segar dan bermaya. Kopi juga mampu menjadikan kulit lebih tegang dan anjal manakala kandungan kafein membantu menghilangkan selulit. Pelanggan juga boleh melakukan lulur dan sental sendiri di rumah dengan menyediakan serbuk kopi bersama minyak zaitun.

HILANGKAN PARUT JERAWAT

Selain rawatan badan, spa yang terletak di Bandar Baru Bangi turut memberi tumpuan kepada keserian wajah menerusi rawatan Dermapen. Jelas Husna, Dermapen berkesan menegangkan kulit, menghilangkan kedutan halus dan besar, memudarkan jeragat dan parut, menghilangkan parut hitam serta menjadikan pori kulit lebih halus.

“Ia juga membantu menjana semula kolagen secara semula jadi pada wajah dengan ini sel baru cepat terhasil,” katanya.

Terkenal sebagai rawatan paling berkesan memudarkan parut jerawat, Dermapen dijalankan menggunakan jarum mikro yang halus bersama serum pencerah yang selamat bahan kandungannya.

Untuk setiap jenis kulit kadar kedalamannya berbeza. Bermula daripada 0.5 milimeter (mm) sehingga 2mm, jarum ini akan menusuk menembusi lapisan kulit.

“Paling penting Dermapen tidak menyakitkan dan menyebabkan luka pada kulit. Ia hanya menyebabkan kulit kelihatan kemerahan buat seketika. Rawatan ini dijalankan selama dua jam dan selesa bagi mereka yang baru kali pertama mencuba,” kata Husna yang menggalakkan pelanggan menjalani rawatan dua kali seminggu untuk masalah kulit serius.

Meminati bidang kecantikan sejak zaman persekolahan, Husna yang masih bekerja mengakui bagi memenuhi minat sebagai terapi dia sering mengikuti pelbagai bengkel atau latihan mengenai urutan badan dan rawatan wajah.

“Sehingga suatu hari saya terjumpa dengan laman sesawang Zarraz dan tertarik mengikuti kelas spa bergerak. Hampir dua bulan saya menjadikannya sebagai kerjaya sambilan. Selepas yakin dengan perkhidmatan dijalankan saya bercadang membuka spa fizikal kerana merasakan tidak selamanya akan terus bekerja makan gaji,” katanya.

Bermula dengan mencari kedai menerusi pencarian Google, Husna bertemu pemilik Kenanga Spa, Asmawati Salleh yang ingin mencari rakan niaga. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, kata sepakat diambil untuk menjadikan perniagaan spa ini sebagai perniagaan bersama.

“Perkara pertama dilakukan adalah menukar nama Kenanga kepada Beringin Spa & Beauty bagi memperbaiki jenama agar lebih dikenali ramai. Walaupun tidak menukar konsep 100 peratus, namun harga ditawarkan serta perkhidmatan masih kekal dan ditambah dengan rawatan baru,” katanya yang turut menyediakan rawatan rambut termasuk cuci dan gunting.

Beringin Spa & Beauty dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Dengan tiga juruterapi terlatih dan berpengalaman, rawatan urutan untuk ibu dalam pantang turut disediakan dari rumah ke rumah.

Selain itu mendekatkan diri dengan pelanggan Beringin Spa & Beauty turut menerima jemputan daripada klinik kesihatan daerah untuk mengadakan urutan dan rawatan wajah pada hari terbuka mereka serta bengkel kecantikan untuk pelajar universiti.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 1:20pm
d