hati

Cabar sekolah kumpul bahan kitar semula

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk menganjurkan kempen kitar semula pertamanya di Sarawak.

Kempen itu bakal menarik penyertaan sekolah di seluruh daerah utara Kuching untuk merebut sebahagian daripada hadiah berjumlah RM19,200 yang ditawarkan dalam kempen kitar semula yang dianjurkan selama empat bulan itu.

Berbekalkan kejayaan kempen kitar semulanya di Shah Alam dan Pulau Pinang, F&NHB mahu meluaskan inisiatif hijaunya di Sarawak dengan mendidik pelajar sekolah mengenai falsafah 5R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), Recycle (Kitar Semula), Rethink (Fikir Semula) dan Reinvent (Cipta Semula).

Pengurus Hal Ehwal Korporat F&NHB Cariessa Goh berkata, pihaknya menghargai peluang untuk bekerjasama dengan DBKU bagi menyemaikan tabiat yang sihat dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kami yakin kempen ini mendapat sokongan sekolah di sini sebagaimana yang kami terima setakat ini untuk kempen yang sama di Shah Alam dan Pulau Pinang.

“Sejak memulakan inisiatif ini pada 2007, hampir 1.5 juta kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpulkan,” katanya.

Kempen bermula 1 Jun hingga 30 September ini mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Daerah dan Tetra Pak Malaysia.

Dibuka kepada semua sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbiran DBKU, kempen itu mencabar sekolah yang turut serta supaya pelajar mengumpul bahan kitar semula sebanyak mungkin khususnya aluminium, plastik, kertas dan kotak minuman Tetra Pak untuk memenangi hadiah.

Sekolah rendah dan menengah yang menyertai program itu berpeluang memenangi hadiah utama RM1,400 untuk purata kutipan bahan kitar semula setiap murid dan pelajar paling tinggi pada akhir kempen.

Hadiah kedua berjumlah RM1,300 manakala pemenang tempat ketiga bakal menerima RM1,200. Pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM1,100 dan RM1,000 sebagai ganjaran dalam usaha murni itu.

Sekolah yang mendapat tempat keenam hingga ke-10 menerima hadiah sagu hati RM300. Tiga anugerah khas juga ditawarkan bagi kutipan aluminum, plastik dan bahan kitar semula Tetra Pak paling tinggi.

Sekolah rendah dan menengah berpeluang memenangi RM700 untuk setiap kategori anugerah khas itu.

Tambahnya, masa terbaik untuk menyemaikan tabiat dan sikap yang baik adalah ketika zaman kanak-kanak.

“Oleh itu, kami berharap kempen ini akan menyedarkan generasi muda mengenai kepentingan bersama-sama menyokong amalan kitar semula dan menggalakkan sikap bertanggungjawab kepada alam sekitar,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 10:19am
d