hati

Industri bermula bawah pohon rambutan

Oleh Rodly Fadly

Bermodalkan hanya RM50, Jamirah Othman, 57, dan suami, Amat Termizi Dollah Kusni, 59, memulakan perusahaan kerepek ubi secara kecil-kecilan pada awal 1990-an.

‘Kilang’ untuk memproses kerepek hanya di bawah pohon rambutan di depan rumah mereka di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, Selangor sementara pelanggannya pula adalah penduduk kampung.

Tetapi, hari ini, Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd (JFISB) yang beroperasi di Lot 815, Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, adalah antara pengeluar kerepek ubi terbesar di Malaysia dengan pengeluaran 100 tan sebulan terutama menjelang musim perayaan.

Malah, selain menguasai pasaran tempatan, kerepek ubi keluaran JFISB turut melangkah ke peringkat global dengan United Kingdom, Taiwan dan China antara negara yang diterokai.

Sebagai anak yang kini mewarisi perniagaan itu, Norazrin Amat Termizi, 34, bukan sekadar berasa bangga, malah bertanggungjawab untuk memastikan JFISB terus berdaya saing dalam industri berkenaan.

Bagi Norazrin, walaupun kedua ibu bapanya sudah meletakkan asas yang selesa, namun dia tidak boleh mengambil mudah sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memajukan lagi perniagaan itu sehingga mampu memenuhi impiannya menjadikan kerepek ubi sebagai snek antarabangsa.

“Ketika ibu bapa saya memulakan perusahaan ini lebih 20 tahun lalu, saya masih di bangku sekolah. Malah, ketika itu saya dan adik turut membantu mereka mengupas ubi kayu untuk dibuat kerepek.

“Saya masih ingat, semua kerja itu dilakukan di bawah pokok rambutan di depan rumah. Di situlah ‘kilang’ pertama kami. Ketika itu kami menjual kepada penduduk kampung dan meletakkannya di kedai runcit.

“Lama-kelamaan kerepek ubi yang kami usahakan semakin popular sehingga ada pemborong yang berminat untuk memasarkannya,” katanya.

Melihat kepada potensi perniagaan ini, ayahnya menyewa tanah pertanian seluas 48 hektar di bawah skim Taman Kekal Pemakanan Malaysia (TKPM) untuk mengusahakan ladang ubi kayu bagi menampung keperluan bahan mentah itu.

Malah, bermodalkan RM20,000 hasil pinjaman tanpa faedah di bawah skim Kredit Mikro yang diperkenalkan kerajaan, mereka membangunkan perusahaan itu sedikit demi sedikit sehingga mampu membina kilang dan pusat jualan sehenti dengan modal RM1.2 juta.

“Perusahaan ini ‘membesar’ di depan mata saya. Saya melihat bagaimana emak dan ayah menghadapi pelbagai halangan serta jatuh bangun sebelum berjaya seperti sekarang.

“Mereka bukan sekadar mengorbankan wang ringgit tapi keringat dan air mata untuk memajukan perniagaan ini. Oleh itu, sekarang menjadi tanggungjawab saya dan adik-adik untuk meneruskan legasi mereka,” ujarnya.

ADIK-BERADIK GANDING ILMU

Norazrin berkata, dia terpanggil menyertai pasukan emak dan ayahnya menamatkan pengajian peringkat diploma dalam jurusan Pengurusan Perhotelan kerana ingin membantu keluarganya memajukan lagi perniagaan.

“Bila perusahaan kerepek ubi yang diusahakan emak dan ayah semakin membesar, saya dapati masalah utama mereka adalah segi pentadbiran dan pemasaran.

“Oleh itu dengan ilmu yang dipelajari di menara gading, saya manfaatkan untuk mengurus perniagaan itu secara lebih tersusun, sesuai dengan statusnya sebagai satu industri.

“Apatah lagi apabila dua adik saya, Norbaizura dan Norfarahin juga mengambil langkah sama menyertai saya selepas menamatkan pengajian di universiti yang melonjakkan lagi perniagaan ini,” katanya.

Sebagai Pengarah Urusan, Norazrin dibantu Norbaizura, 30, dan Norfarahin, 28, merangka pelbagai strategi pemasaran sehingga mampu membawa kerepek ubi ke pasaran global iaitu ke United Kingdom, China dan Taiwan.

Namun, pengeksportan ke United Kingdom dihentikan selepas dua tahun beroperasi kerana tidak mampu memenuhi permintaan membekalkan lapan tan kerepek ubi sebulan.

“Memandangkan pasaran di dalam negara sendiri makin meningkat malah kadang-kala tidak mencukupi, kami mengambil keputusan memberi tumpuan kepada pasaran tempatan di samping terus menjadi pembekal ke China dan Taiwan.

“JFISB masih menaruh harapan suatu masa kelak produk berasaskan ubi kayu seperti kerepek pelbagai rasa dapat menembusi pasaran antarabangsa dan sebaris dengan jenama terkemuka dunia,” ujar Norazrin.

Bagi Jamirah dan Termizi, sudah sampai masanya mereka melepaskan perniagaan itu kepada anak.

“Saya sudah lama terbabit dalam bidang ini dan ingin berehat. Lagi pun, saya yakin, Azrin dan adiknya mampu melonjakkan lagi perniagaan ini. Mereka orang muda yang ada ilmu dan idea untuk melaksanakannya berbanding kami yang hanya bijak dalam soal pengeluaran,” kata Jamirah.

Sementara itu Termizi yang kini bertindak sebagai penasihat syarikat lebih memberi tumpuan kepada ladang ubi kayu yang diusahakannya demi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

Malah, beliau bercadang membeli atau menyewa beberapa bidang tanah lagi untuk tanaman ubi kayu seiring dengan hasrat Norazrin yang mahu melebarkan empayar perniagaan mereka.

“Jika mahu menakluki pasaran global, kami perlu menambah jumlah pengeluaran. Secara tidak langsung, saya juga perlu mampu membekalkan bahan mentah yang mencukupi. Ladang seluas 48 hektar yang saya usahakan sekarang tidak mampu menampung,” ujarnya.

Selain kerepek ubi sebagai perniagaan utama, JFISB juga mengusahakan kerepek pisang dan keledek serta menjual pelbagai makanan berasaskan pertanian yang diusahakan oleh pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) di sekitar daerah berkenaan.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 10:31am
d