hati

Bukan sekadar pusat ilmu

Oleh Siti Zarinah Sahib

Setiap hari hampir 50 hingga 100 pek sunah iftar berisi kurma, kismis dan sekotak susu diletakkan di hadapan Kompleks Kuliah dan Anjung Mutiara, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Rata-rata pelajar yang sudah mengetahui mengenai makanan percuma ini pasti akan mengambilnya sebagai persediaan berbuka puasa.

Walaupun pemberian ini sangat sederhana, namun ia adalah usaha untuk mendidik pelajar memulakan iftar dengan makanan sunah yang disarankan Nabi Muhammad SAW. Malah memulakan berbuka puasa dengan kurma menjadikan seseorang itu lebih bertenaga.

Usaha murni menyediakan pek sunnah iftar secara percuma ini adalah cetusan ilham Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Dr Izan Jaafar bagi memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan berbuka puasa dengan makanan yang boleh mengenyangkan serta memberikan tenaga.

Ia juga kesinambungan daripada projek yang dijalankan oleh Act of Kindness (AOK) bermula Februari lalu.

Menurut Dr Izan, idea penubuhan AOK asalnya untuk bersedekah kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

“Kami mendapat maklumat daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bahawa ramai pelajar yang belum mendapat bantuan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga ada yang terpaksa mengikat perut, makan nasi tanpa lauk dan hanya bersulam segelas air kosong.

“Ia sangat menyedihkan. Lalu dua pensyarah iaitu Dr Wan Rafizah Wan Abdullah dan Dr Nazaitulshila Rasit membentuk kumpulan WhatsApp bersama beberapa pensyarah lain bagi menghulurkan bantuan.

“Asalnya hanya kecil-kecilan bermula RM50 seorang, dengan harapan dapat mengurangkan sedikit bebanan perbelanjaan pelajar. Sesiapa juga boleh memberikan sumbangan makanan bernilai RM2 hingga RM5, sama ada untuk pek sarapan seperti kuih-muih, roti atau nasi lemak juga makan tengah hari yang diberikan percuma pada setiap Ahad, Selasa dan Khamis. Kami tidak menetapkan jumlah, jadi ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersedekah mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Bagi memberikan hebahan dan aktiviti terkini mengenai projek sedekah ini, Dr Izan membuka album khas di Facebook sekali gus mempromosi aktiviti mereka dengan harapan lebih ramai masyarakat luar memberikan sumbangan.

“Alhamdulillah jika dulu sumbangan hanya daripada pensyarah tetapi kini ramai bekas pelajar UMT (Alumni UMT), ahli kelab Mutiara dan rakan turut sama bersedekah. Lalu saya memikirkan apakah bentuk sumbangan bersesuaian dengan konsep Ramadan. Akhirnya saya terfikir untuk menyediakan pek sunnah iftar,” katanya.

Ia juga sebagai pendedahan mengenai kebaikan makanan sunah seperti kurma, kismis dan susu yang memberikan kebaikan kepada tubuh.

“Kami memilih susu kerana minuman ini kaya kalsium, kurma pula memberikan tenaga manakala kismis baik untuk meningkatkan daya ingatan sesuai dengan bulan peperiksaan pada Jun ini,” katanya.

Oleh kerana kebanyakan sumbangan diterima dalam bentuk wang tunai, ia memudahkan sukarelawan membeli kurma, kismis dan air kotak untuk dimasukkan di dalam bekas. Setakat ini AOK menerima sebanyak 1,750 pek dan ia mencukupi bagi memenuhi keperluan sepanjang Ramadan.

Walaupun ia bukanlah makanan utama tetapi pemberian ini membolehkan pelajar yang tidak berbuka di masjid mengisi perut dengan makanan berkhasiat sebelum mengambil makanan berat. Secara tidak langsung AOK dapat membudayakan pengambilan makanan sunah ketika berbuka puasa kerana ia bagus untuk tenaga.

Penyumbang pula boleh memaklumkan pek mana yang mereka inginkan sama ada set A untuk kurma dan kismis, set B merangkumi kurma, kismis dan air kotak manakala set C termasuk kurma, kismis dan susu.

Gerobok Rezeki

Jatuh cinta melakukan kerja amal selepas memberikan sumbangan makanan kepada gelandangan di Kuala Lumpur, Dr Izan mula menjalankan projek kedua iaitu Gerobok Rezeki yang mensasarkan kepada pemberian barang makanan kering dan barangan peribadi seperti beras, minyak masak, tepung susu, kopi, teh dan gula termasuk sabun mandi, ubat gigi dan sabun basuh baju.

Semua barang ini pada mulanya hanya diletakkan di dalam bilik Kelab Mutiara untuk diambil pelajar. Namun disebabkan mendapat sambutan menggalakkan ia kemudiannya ditukar kepada cara lebih sistematik agar pembahagian dijalankan secara menyeluruh.

“Kali pertama diadakan, dalam masa setengah jam semua barangan habis diambil. Konsepnya senang saja ambil apa saja barang yang mereka inginkan. Pemberian ini bukanlah untuk menyempurnakan keperluan tetapi hanya sebagai tambahan agar dapat mengurangkan bebanan pembelian. Jadi kami merasakan lebih banyak barang diperlukan bagi memenuhi keperluan pelajar terutama mereka yang tinggal di luar kampus,” katanya.

Bagi memudahkan sumbangan, penyumbang boleh memberikan barangan mengikut senarai yang diberi atau mendermakan sejumlah wang mengikut kemampuan masing-masing.

Jelas Dr Izan, AOK akan meneruskan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat bukan saja kepada penerima tetapi penderma. Budaya bersedekah memberikan keinsafan untuk mereka memahami kehidupan golongan kurang berkemampuan. Terutama bagi sukarelawan yang mengakui hanya dapat memberikan bantuan tenaga berbanding wang ringgit.

Bagi pembaca yang ingin memberikan sumbangan kewangan untuk projek AOK boleh melayari Facebook album #Anjung Mutiara dan Gerobok Rezeki.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 11:19am
d