hati

Bank makanan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Ramai mengakui apabila waktu berbuka puasa nafsu makan menjadi luar biasa. Apa tidaknya setiap kali mengunjungi bazar Ramadan pengunjung bagaikan rambang mata, macam-macam hendak dibeli sedangkan tidak semua habis dimakan.

Begitu juga apabila makan di hotel. Hidangan secara bufet yang bebas diambil, menyebabkan individu mengisi sehingga penuh pinggan. Tetapi yang mampu dijamah cuma separuh saja dan selebihnya akan berakhir di dalam bakul sampah.

Berdasarkan penyelidikan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015, kira-kira 15,000 tan metrik sisa harian dibuang setiap hari dan 3,000 tan daripada makanan ini masih boleh dimakan serta belum disentuh. Jumlah ini mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.

Mengambil inisiatif mengelak pembaziran makanan terutama pada bulan puasa, Food Aid Foundation (FAF) atau lebih dikenali sebagai bank makanan Malaysia pertama memberi peluang kepada pengeluar, pemborong dan penjual menderma makanan yang masih boleh dimakan, bernutrisi dan halal ke 140 rumah kebajikan, anak yatim berdaftar termasuk gelandangan serta keluarga miskin.

Kutip bekalan makanan

Menurut Pengarah Operasi FAF Hayati Ismail, setiap hari dua van FAF akan mengambil makanan dari hotel, rangkaian pasar raya besar seperti Tesco dan restoran makanan segera antaranya KFC, Mc Donalds dan Kenny Rogers.

Makanan ini dibawa ke FAF di Desa Tun Razak, Cheras dan disimpan di dalam bilik sejuk sebelum diedarkan kepada rumah yang memerlukan. Pada bulan puasa kerja pengumpulan semakin bertambah terutama daripada hotel yang menyediakan makanan bufet.

“Selepas habis waktu berbuka lori sejuk FAF akan datang mengambil makanan bufet yang belum disentuh terutama daripada kategori makanan tahan lama. Makanan ini dibawa ke FAF dan dibekukan. Kemudian seorang cef berpengalaman yang dilantik bagi mengendalikan makanan sejuk beku ini ditugaskan untuk memasak semula makanan dalam cara sihat dan menyelerakan,” katanya.

Keesokannya, makanan ini akan dihantar ke rumah anak yatim tanpa mengira kaum dan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Menariknya, FAF bukan setakat mengambil makanan segera dan mentah malah apa saja keperluan yang ingin disumbangkan termasuk beras, minyak masak tepung, mi segera, sardin, roti dan biskut. Malah makanan dari luar negara turut diterima asalkan ia halal dan belum tamat tarikh luput.

“Pernah terjadi Kelloggs ingin membekalkan produk mereka kepada FAF dan sekolah bersedia menerimanya, tetapi makanan untuk sekolah dikawal Kementerian Pendidikan. Jadi saya dermakan kepada persatuan ibu bapa dan guru di sekolah.

“Begitu juga apabila seorang kawan di Thailand memberitahu ada syarikat ingin memberikan 12,000 tan muesli yang tidak boleh dijual di sana dan sanggup menghantarnya ke Malaysia. Bagaimanapun, kerenah birokrasi dan urusan penghantaran terlalu lewat menyebabkan saya terpaksa menghantar bekalan makanan itu untuk pelarian di Syria,” katanya.

Oleh kerana pelbagai sumbangan diterima, FAF yang beroperasi sebagai dapur simpanan menyediakan tiga bilik iaitu bilik kering, bilik sejuk dan sejuk beku untuk menyimpan pelbagai makanan, daripada kentang sehinggalah sosej dan roti.

“Semua barangan ini akan dikeluarkan mengikut tarikh luputnya. Misalnya ada kilang memberikan sumbangan roti yang akan tamat tempoh dalam masa seminggu. Jadi FAF akan menghantar roti ke rumah anak yatim sebelum tamat tempoh. Keadaan berbeza dengan makanan yang sedia dimasak dan barangan kering yang lebih tahan lama,” katanya.

Perlu mendaftar

Sumbangan makanan percuma ini diagihkan setiap minggu mengikut jadual penghantaran. Setiap rumah kebajikan yang berdaftar dengan FAF akan menerima makanan pada setiap bulan dan setiap Selasa bagi gelandangan.

Menurut Eksekutif Operasi FAF Sham Rashid, penghantaran dibuat ke rumah yang berdaftar dengan FAF saja. Ini bagi membolehkan FAF mengagihkan makanan kepada rumah kebajikan yang benar daif dan memerlukan.

“Sebelum dimasukkan dalam senarai berdaftar FAF akan meninjau keadaan rumah dari segi jumlah penghuni dan pendapatan mereka. Ini kerana banyak rumah kebajikan dan anak yatim yang sangat memerlukan sumbangan makanan serta barangan kering berbanding pakaian. Jadi sumbangan seperti beras dan minyak masak sangat dialu-alukan ,” katanya.

Ditubuhkan pada 2013, FAF beroperasi mengikut standard pertubuhan bank makanan antarabangsa dengan menyediakan penyimpanan untuk barang basah, kering dan mentah dengan cara paling selamat.

Ia bermula apabila ahli perniagaan Rick See, yang menyediakan peralatan dapur dan Naib Presiden Institut Rekaan Dalaman Malaysia Mohamad Faisal Ghazali mencetuskan idea untuk menubuhkan bank makanan Malaysia pertama di bawah kendalian Hayati.

Jelas Hayati, dia tertarik menyertai FAF kerana tujuan penubuhannya untuk mengurangkan pembaziran sekali gus membantu menyediakan makanan bernutrisi kepada mereka yang memerlukan.

“Saya berhenti kerja dari sektor korporat kerana tidak sanggup berkerja lebih lapan jam sehari dengan sumbangan hanya untuk syarikat. Keinginan untuk menyumbang semula kepada masyarakat menyebabkan saya menyertai misi ini sebagai sukarelawan menyediakan makanan kepada gelandangan di Chow Kit pada 2015.

“Di situlah saya bertemu dengan pengasas FAF, seterusnya menghasilkan kertas kerja dan menggerakkan pertubuhan ini hinggalah sekarang,” katanya

Dia yang turut mengikuti pergerakan bank dunia di luar negara khususnya Australia mengakui pengetahuan umum mengenai bank makanan masih kurang. Keadaan jauh berbeza di luar negara di mana pertubuhan bank makanan bergerak sangat aktif sehinggakan golongan gelandangan ada tempat khas untuk mengambil makanan setiap hari.

“Ia bukan saja membabitkan makanan kering dan basah tetapi bahan mentah termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran yang disumbangkan oleh pelbagai agensi. Cara ini dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan bantuan sekali gus mengelak pembaziran makanan,” katanya.

Tambah Hayati lagi, sepanjang Ramadan ini FAF mengadakan kempen kepada peniaga bazar Ramadan agar tidak membazirkan makanan yang tidak dijual dengan meletakkannya di tempat yang disediakan. Selepas waktu berbuka makanan ini akan dihantar ke masjid untuk dijadikan hidangan selepas solat Tarawih.

Walaupun gembira dengan kejayaan bank makanan pertama ini, namun Hayati berharap akan muncul bank yang sama di setiap negeri di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini. Selain itu dia juga mengharapkan masyarakat tidak membazir makanan kerana masih ramai yang sangat memerlukan.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 11:54am
d