hati

Tingkat kesedaran penjagaan alam sekitar

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap tahun sebagai langkah menyokong usaha menjaga alam semula jadi ke arah lebih positif dengan tema sambutan tahun ini Mengeratkan Hubungan Antara Manusia dengan Alam Sekitar.

Ia memberi peringatan bahawa kita adalah sebahagian daripada alam sekitar dan bergantung kepadanya, selain menyeru melindungi bumi yang dikongsi bersama ini.

Justeru, Botaneco Garden, jenama produk penjagaan rambut dan badan bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk melancarkan kempen ‘Plant A Seed, Grow A Forest’.

Kempen itu menyalurkan satu peratus daripada jualan semua produk Botaneco Garden sepanjang Jun ini kepada usaha penghutanan semula paya bakau oleh persatuan itu di Kuala Selangor.

Menurut Pengarah Pemasaran Guardian Malaysia Sdn Bhd Christina Low, sokongan Botaneco Garden terhadap Hari Alam Sekitar Sedunia dilihat selari dengan falsafah jenama dan gaya hidup serta keprihatinan penggunanya.

“Produk ini mempunyai kelompok pengguna yang bijak dan sayangkan alam sekitar. Koleksi mengandungi ramuan yang mesra alam ini ditawarkan pada harga mampu milik. Pada masa sama, ramuan terpilih ini dihasilkan secara beretika dan prihatin kepada alam untuk memenuhi keperluan pengguna yang mengambil berat terhadap alam semula jadi, seterusnya mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya.

“Kempen bersama MNS yang membantu usaha penghutanan semula paya bakau di Kuala Selangor sememangnya cukup sesuai dengan kami dan pengguna. Sebab itulah kami menganjurkannya sepanjang bulan ini,” katanya.

Katanya, jenama itu menetapkan sasaran untuk menanam 200 batang pokok kayu bakau daripada dana yang dapat dikumpulnya nanti.

Pengarah Eksekutif MNS, IS Shanmugaraj Subramaniam berkata, sokongan terhadap langkah pemuliharaan alam sekitar semakin berkembang di Malaysia dan jenama seperti Botaneco Garden membantu meningkatkan kesedaran, selain menyediakan landasan untuk pengguna mengambil bahagian dan memberikan sumbangan.

“Kesedaran pentingnya hutan paya bakau kepada ekosistem sungai dan pasang surut air masih rendah. Kempen ini cuba membawa mesej penting kepada orang ramai dan menjadikannya lebih jelas.

“Pengguna juga boleh memberi sokongan terhadap usaha ini dan melawat Kuala Selangor untuk mengeratkan hubungan antara manusia dengan alam sekitar di samping dapat melihat bagaimana sokongan mereka kepada Botaneco Garden boleh membantu menghasilkan sebuah hutan,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 3:02am
d