hati

Istiqamah kendali pusat jagaan

Oleh Rodly Fadly

“Penghuni di sini pernah makan nasi hanya berlaukkan telur goreng dan sayur rebus. Apa nak buat, itu sahaja kemampuan kami dan rezeki mereka. Namun mereka tidak pernah merungut sebaliknya tetap bersyukur.”

Demikian luah pengasas dan penyelia Pusat Jagaan Titian OKU Nur Normah Adlan. Ia antara pengalaman menyedihkan pernah dilaluinya sepanjang mengendalikan pusat jagaan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Namun, dalam serba kepayahan itu, Normah, 45, tetap terus beristiqamah dengan niatnya membela golongan terpinggir yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) fizikal dan mental serta warga emas.

Pusat jagaan di Kampung Melayu, Batu 16, Rawang, Selangor itu menempatkan 50 penghuni terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak berumur antara lapan bulan hingga 97 tahun.

Kata orang, menjaga sekandang kerbau lebih mudah daripada menjaga anak sendiri. Bayangkan pula jika anda terpaksa menjaga 50 orang yang mengalami pelbagai masalah kesihatan dan mental.

Sejujurnya, penulis yang berada hanya dua jam di pusat jagaan itu kurang selesa apabila melihat pelbagai ragam penghuninya. Ada yang menjerit, meraung, memberontak dan bermacam-macam ragam lagi menyebabkan penulis hanya mampu beristighfar dalam hati. Ia memang menuntut kesabaran sangat tinggi, penulis angkat topi untuk Normah yang mampu mengendalikan pusat jagaan berkenaan bersama dua pembantunya.

Kesabaran jadi kunci

Mengakui betapa kesabaran adalah kunci utamanya, Normah berkata, pengalaman menjaga insan istimewa ini sejak lebih 10 tahun lalu menjadikan dia lali dengan ragam mereka kerana itulah rutin yang dilaluinya setiap hari.

“Apa yang awak lihat ini sudah jadi perkara biasa kepada saya. Itu baru ragam, belum lagi soal lain seperti membuang air besar dan kencing merata-rata. Malah ada yang cuba mencederakan diri apabila gagal mengawal tekanan.

“Tapi kita kena faham mereka ini datang dari pelbagai latar belakang dan mempunyai masalah tersendiri. Ada yang mengalami kecacatan seperti lumpuh, sindrom Down dan terencat akal.

“Ada juga warga emas uzur yang menghidap pelbagai penyakit seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi.

“Jadi dalam mengendalikan penghuni di sini, kami memang perlu banyak bersabar dan bertoleransi dengan mereka,” katanya seolah-olah memahami apa yang bermain dalam fikiran penulis.

Malah, menurut Normah, selain bersabar menghadapi ragam penghuni di situ, dia juga berdepan pelbagai cabaran dalam memastikan pusat jagaan berkenaan terus berfungsi.

Kekangan kewangan, masalah birokrasi sesetengah pihak dan sikap tidak bertanggungjawab ahli keluarga penghuni sendiri antara yang perlu didepani oleh Normah.

“Perbelanjaan makan minum setiap penghuni ialah RM10 sehari. Kalau 50 orang, kami memerlukan RM500 sehari, bermakna RM15,000 sebulan. Sebab itu apabila terputus bekalan atau kesempitan wang, mereka makan ala kadar untuk mengalas perut.

“Itu belum lagi kos sewa premis, rawatan, lampin pakai buang dan keperluan lain. Bukan niat saya mengungkit atau menceritakan kedaifan kami namun itulah hakikat yang perlu kami lalui dan memerlukan perhatian,” ujar Normah.

Menurut Normah, buat masa ini mereka hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang prihatin dengan nasib penghuni di situ.

Walau ada ahli keluarga penghuni turut menghulurkan sumbangan namun lebih ramai yang mengambil sikap lepas tangan.

Mereka kini berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) terutama selepas JKM meluluskan pendaftaran pusat jagaan itu secara rasmi pada 2016 lalu.

Mencari saham akhirat

Walau berat bahu memikul berbanding mata yang memandang, Normah tetap tabah melaksanakan tanggungjawab yang dianggap diamanahkan Allah kepadanya.

“Boleh dikatakan 80 peratus penghuni pusat jagaan ini ‘tidak mempunyai waris’. Ada waris yang hanya datang menghantar, kemudian menghilangkan diri dan langsung tidak menjenguk seolah-olah penghuni ini tidak wujud lagi dalam hidup mereka.

“Ada pula ditinggalkan di hospital atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kemudian dirujuk ke sini. Kebanyakan waris hanya datang apabila penghuni mati, itu pun untuk menyelesaikan proses tuntutan harta si mati.

“Bayi sindrom Down berusia lapan bulan ini tidak ‘diterima’ oleh ibu bapanya dan menghantar ke sini untuk saya jadikan anak angkat. Dia ditinggalkan begitu saja tanpa sebarang nafkah,” ujar Normah merujuk kepada bayi yang didukungnya.

“Saya sendiri hidup sederhana. Tapi, saya tidak sampai hati melihat anak bangsa sendiri apatah lagi saudara sesama Islam hidup merempat tanpa pembelaan. Kalau kita orang Islam tidak membantu, siapa lagi?” kata Normah.

Penghuni tertua di pusat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nek Mah, 97, berkata, dia bersyukur kerana bertemu Normah yang sanggup memberi tempat perlindungan dan menjaganya selepas diabaikan oleh anak tunggalnya sejak kematian suami.

“Dia (anak) tidak pernah menjenguk Nek Mah. Mungkin dia sudah lupakan Nek atau anggap Nek sudah mati.

“Tapi, baru-baru ini ada seorang saudara datang dan memberitahu bahawa rumah pusaka Nek di kampung sudah dijual. Nek benar-benar sedih kerana itulah harta peninggalan arwah suami,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Laila, 50, berasal dari Indonesia ternyata gagal menahan sebak apabila mengenang nasibnya sebatang kara di negara ini.

“Saya datang ke sini sebagai pembantu rumah untuk menyara persekolahan anak tunggal selepas kematian suami. Tapi, saya kehilangan pekerjaan selepas diserang strok. Sejak itu saya benar-benar buntu dan kerap keluar masuk hospital. Di sanalah saya mengenali Normah yang menawarkan saya tinggal di rumah perlindungan ini,” katanya gagal menahan tangisan.

Bagi Normah, walaupun cabaran dihadapinya terlalu besar namun dia tetap bersyukur kerana Allah memilihnya untuk berbakti kepada insan terpilih di Pusat Jagaan Titian OKU Nur itu.

“Biarlah saya miskin di dunia tapi kelak kaya di akhirat kerana bagi saya mereka ini dikurniakan oleh Allah sebagai harta serta saham untuk bekalan di sana nanti,” kata Normah.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah menyalurkannya ke akaun Pusat Jagaan Titian OKU Nur - CIMB 8000519387 atau hubungi Normah Adlan di talian 012-6721816.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 12:46pm
d