hati

Kelainan ikan pekasam Fadilah

Oleh Mohd Rafi Mamat

Ikan segar terus dari tasik dengan gabungan ramuan tradisional yang digunakan menjadi keistimewaan ikan pekasam warisan ibunya dan sering mendapat permintaan menggalakkan daripada penggemar.

Pengalaman selama 13 tahun menghasilkan ikan pekasam turut menjadi kelebihan pada produk keluaran usahawan wanita ini yang ternyata memenuhi cita rasa pelanggan. Malah ramai memberi maklum balas positif mengatakan ikan pekasamnya ada kelainan berbanding produk di pasaran.

Pada Ramadan ini, permintaan terhadap ikan pekasam menggunakan ikan segar semakin meningkat. Tidak hairanlah jika suasana di bengkel Fadilah Hanom Subuh, 37, di Kampung Paya Rambutan, Kuantan bertambah sibuk untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

“Bagi menjaga kualiti ikan pekasam ini, saya hanya menggunakan ikan segar yang dibekalkan nelayan darat sekitar Kampung Paya Rambutan dan Paya Bungor. Mereka menangkap ikan menggunakan jaring dan jala di lebih 20 tasik semula jadi di sekitar kawasan ini.

“Lebih 15 jenis ikan air tawar seperti lampam, temperas, loma, kerai, sebarau dan terbun dijadikan. Selain itu saya juga turut menggunakan ikan patin, tilapia, haruan dan toman sekiranya mendapat permintaan,” kata ibu kepada empat anak itu.

Menurutnya, pada peringkat awal ibunya, Rahmah Mat Ripin, 70, yang menjalankan perusahaan itu di bawah program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Pejabat RISDA Daerah Pahang Timur, namun kini dia yang meneruskannya.

Ibunya kini menjadi penasihat bagi memastikan ikan pekasam yang dihasilkan terus berkualiti dan rasa kekal sama seperti sebelum ini. Ramuan garam dan beras goreng perlu disukat dengan betul.

Fadilah yang turut mengusahakan perusahaan santan kelapa berkata, selepas disiang dan dibersihkan, ikan perlu diperam bersama beras goreng dan asam keping dalam bekas kedap udara selama dua minggu sebelum boleh digoreng.

Penyediaan ikan pekasam versi negeri di sebelah utara agak berbeza jika dibandingkan dengan di pantai timur kerana ikan pekasam yang terkenal di Perlis, Kedah dan Perak hanya diperam menggunakan beras goreng tanpa dicampurkan asam keping.

Setiap bulan dia mampu menjual antara 100 hingga 150 kilogram ikan pekasam, bergantung kepada bekalan ikan daripada nelayan kerana kebanyakannya menangkap ikan secara sambilan.

“Pada musim tengkujuh saya dapat menghasilkan ikan pekasam dalam jumlah yang lebih banyak, iaitu dua hingga empat kali ganda berbanding biasa kerana hasil tangkapan ikan biasanya lebih tinggi. Jadi boleh dikatakan setiap hari mereka menghantar ikan segar ke bengkel saya.

“Permintaan terhadap ikan pekasam saya ini sentiasa bertambah, rata-rata pelanggan memaklumkan mereka sukakannya. Ia tidak masin dan rasa enak apabila digoreng bersama bawang dan cili padi,” katanya yang turut mengupah jiran untuk menyiang ikan.

Fadilah berkata, ikan pekasamnya dijual pada harga RM16 sekilo, bergantung kepada jenis ikan dan saiz. Sekiranya ikan seperti patin, kerai, sebarau, toman dan haruan, harganya lebih mahal.

Walaupun ikan yang besar itu nampak lebih cantik dan menyelerakan, kebanyakan peminat ikan pekasam lebih suka ikan bersaiz kecil seperti lampam, temperas, loma, kerai, sebarau dan terbun. Selain rangup seperti keropok, rasanya juga lebih enak dan mudah disediakan.

Katanya, sokongan dan bantuan daripada RISDA yang mengadakan bengkel serta latihan keusahawanan kepada ibunya dulu menambahkan keyakinannya untuk terbabit secara serius dan meneruskan perniagaan ikan pekasam.

“Ibu adalah penyokong kuat dalam perniagaan ini. Dia sentiasa memberi nasihat dalam memajukan perusahaan ikan pekasam yang menambahkan lagi semangat saya untuk meneruskan perniagaan warisan yang semakin diterima masyarakat setempat dan luar daerah ini.

“Kebanyakan pembeli akan datang terus ke bengkel selepas membuat tempahan. Mereka juga berpeluang memilih sendiri jenis dan saiz ikan yang ingin dibawa pulang. Harga tidak menjadi persoalan kepada peminat ikan pekasam,” katanya.

Dia menambah, usaha memperluaskan perniagaan ikan pekasam itu akan terus dilakukan dengan sokongan agensi kerajaan, masyarakat setempat dan tidak ketinggalan nelayan tempatan yang menjadi penyumbang utama pelbagai jenis ikan air tawar.

Namun begitu, Fadilah tahu dia perlu mendapatkan lebih banyak bekalan ikan air tawar untuk memenuhi permintaan peminat ikan pekasam yang semakin bertambah.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 3:01pm
d