hati

Dementia kini krisis utama di Jepun

Oleh Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Kanemasa Ito membandingkan tugas menjaga isterinya, Kimiko dengan memerangi kejahatan. Wanita yang disayanginya sudah hilang - ditelan dementia. Kimiko yang dulunya menguruskan semua keperluan rumah tangga kini tidak boleh lagi makan, mandi atau ke tandas tanpa bantuan suami.

“Ada syaitan dalam fikirannya,” kata Ito, merujuk kepada perubahan dramatik yang berlaku kepada wanita kesayangannya, ketika isterinya itu bercakap yang tidak diketahui butirnya.

Jepun adalah negara yang mempunyai masyarakat ‘tua’ dan panjang hayatnya. Walaupun berbangga dengan tahap kesihatan yang baik itu, tetapi Jepun kini berada di barisan paling hadapan untuk menghadapi krisis penjagaan kesihatan sejagat. Malah kerajaan Jepun kini juga bersiap sedia untuk menangani ‘ledakan’ dementia atau gangguan kronik pada otak yang menjejaskan daya ingatan dan pemikiran pesakit serta kemampuannya menjaga diri.

Kementerian Kesihatan Jepun berkata, menjelang 2025, satu dalam lima penduduk negara itu yang berumur 65 tahun ke atas (jumlahnya dianggarkan 7.3 juta orang) akan mengalami dementia. Ia adalah peningkatan yang ketara berbanding pesakit yang ada sekarang iaitu sekitar 4.6 juta orang.

Salah satu daripada masalah dementia ialah penyakit Alzheimer’s, iaitu sindrom yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir dan mengawal perasaannya. Malah dalam kebanyakan kes, perlakuan pesakit turut berubah yang membuatkan mereka tidak lagi mampu menjaga diri sendiri.

Isteri Ito adalah salah seorang pesakit Alzheimer’s yang mula dikesan ketika berusia 54 tahun. Kini selepas 15 tahun, Ito benar-benar teruji untuk menjaga dan menguruskan keperluan harian wanita yang dicintainya itu.

Kini Kimiko tidak boleh lagi membezakan antara yang baik dan tidak elok. Dia juga tidak tahu apa yang boleh membahayakan dirinya. Pernah sekali, Kimiko cuba minum cecair pencuci tanpa menyedari kemudaratan yang akan dialaminya. Inilah sebabnya Ito perlu memberi sepenuh perhatian kepada Kimiko.

“Ia memang memenatkan,” kata lelaki berusia 73 tahun itu kepada wartawan AFP ketika ditemui di rumahnya di Kawasaki.

Sebenarnya kisah Ito itu sudah menjadi perkara yang agak lazim di Jepun di mana kekurangan sumber kewangan dan pusat penjagaan untuk warga emas dan pesakit dementia menjadi beban kepada pasangan serta anak-anak.

Perdana menterinya, Shinzo Abe kini menyasarkan untuk meningkatkan jumlah rumah penjagaan dan menaikkan gaji kakitangan penjaga bagi menangani masalah berkenaan.

Malah ia juga bertujuan untuk mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh keluarga penjaga selain mengurangkan bilangan orang yang terpaksa berhenti kerja semata-mata mahu menjaga ahli keluarga. Sasaran mereka adalah menjadikan jumlah orang yang berhenti ini daripada 100,000 orang setahun kepada sifar.

PERJUANGAN SETIAP HARI

Kes dementia yang kini menjadi masalah kesihatan sejagat kian meningkat dengan pertambahan jangka hayat penduduk dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu kes baru dilaporkan bagi setiap empat saat.

Sebenarnya banyak negara maju sebenarnya sudah berdepan dengan masalah ini dan mencari cara untuk membiayai kos penjagaan, tetapi kes di Jepun lebih menyerlah kerana populasinya mengalami penuaan pada kadar yang lebih cepat. Sesebuah negara dikatakan mengalami penuaan yang cepat apabila kadar kelahirannya terlalu rendah seperti yang berlaku di Jepun.

Menurut laporan Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2016, penduduk Jepun membelanjakan 23.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, lebih rendah berbanding negara maju lain yang ramai penduduk tua seperti Perancis dan Itali.

“Jepun mengamalkan sistem kebajikan sosial di kawasan yang membolehkan ahli keluarga menjaga warga tua,” kata ketua penyelidik di Institut Penyelidikan dan Maklumat Mizuho, Katsuhiko Fujimori.

Katanya, kerajaan tidak mungkin dapat mencapai sasaran itu tanpa ada sumber kewangan. Malangnya suntikan dana dilihat agak sukar apatah lagi dalam keadaan di mana hutang awam Jepun sudah pun mencecah dua kali ganda berbanding saiz ekonominya.

Dalam keadaan di mana jumlah warga emas kian meningkat dan sumber tenaga pekerja pula semakin mengecut, sesetengah warga senior yang berpendapatan tinggi terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan penjagaan kesihatan di bawah skim insurans nasional.

Pada masa sama, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatannya, jumlah kes penganiayaan warga tua di Jepun juga meningkat daripada 12,623 kes pada 2006 kepada 16,384 kes pada 2015. Sebahagian besarnya membabitkan ahli keluarga.

Inilah hakikat yang perlu diterima kerana bukan mudah untuk menjaga ahli keluarga yang terjejas daya ingatannya dan tidak mampu menguruskan diri sendiri. Dalam keadaan tertekan, manusia boleh hilang pertimbangan.

Seorang warga Tokyo berusia 50 tahun yang menjaga ibunya (pesakit dementia) selama enam tahun memberitahu wartawan AFP, dia pernah beberapa kali terfikir mahu membunuh ibunya.

“Saya benar-benar perlu menguruskan kemarahan saya ini. Kalau tidak, satu hari nanti mungkin saya betul-betul membunuhnya jika tidak dapat mengawal kemarahan,” kata lelaki yang meminta namanya dirahsiakan.

“Saya boleh bayangkan dia mati di hadapan saya. Ia menakutkan saya,” sambungnya.

Antara 1996 hingga 2015, sebanyak 754 kes pembunuhan membabitkan ahli keluarga dan penjaga dicatatkan di Jepun dan kebanyakannya membabitkan lelaki, menurut kajian yang dijalankan oleh pensyarah yang mengajar topik kebajikan di Universiti Nihon Fukushi, Etsuko Yuhara.

Ito yang terpaksa menutup perniagaan kedai serbaneka untuk menjaga isteri berkata, dia berharap kerajaan akan menyediakan persekitaran dan kemudahan yang lebih baik buat penjaga pesakit.

“Setiap hari adalah satu perjuangan dan pertarungan,” katanya memberitahu bagaimana sukarnya dia untuk menyiapkan Kimiko yang tidak mahu dipakaikan baju pada setiap pagi. Malah dia juga enggan rambutnya dicuci.

Pun begitu, sayangnya pada Kimiko tidak pernah padam. Hampir setiap hari dia membawa Kimiko bersiar-siar di taman berhampiran dan membeli barang keperluan tetapi dia tidak pasti apakah isterinya itu sedar apa yang berlaku di sekelilingnya.

“Walaupun sudah berbelas tahun, tetapi saya masih sukar untuk menerima hakikat ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 2:34pm
d