hati

Seronok lihat haiwan eksotik

Memori zaman kanak-kanak adalah satu kenangan indah yang tidak boleh dilupakan serta tidak dapat dijual beli.

Bagi 60 kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Sungai Kantan, Kajang, peluang melihat pelbagai jenis haiwan di zoo haiwan jinak ‘Farm in the City’, baru-baru ini, adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Dianjurkan McDonald’s Malaysia dan Pesatuan Kebajikan Kanak-Kanak Ronald McDonald (RMHC), program ‘Sentuhan Kasih’ adalah satu usaha mendekati masyarakat membabitkan sukarelawan terdiri daripada kakitangan McDonald’s Malaysia dan ahli RMHC.

Bermula daripada menyuap kura-kura sehingga bermain dengan pelbagai jenis burung, program santai ‘Sentuhan Kasih’ memberikan pengalaman pertama dan bermakna untuk kanak-kanak itu melihat haiwan eksotik.

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata, pihaknya sangat gembira dapat meluangkan masa bersama kanak-kanak itu dan menyaksikan keseronokan mereka.

“Kami percaya bahawa pelbagai program yang dijalankan RMHC termasuk program ‘Sentuhan Kasih’ mampu memberi impak positif kepada kanak-kanak yang memerlukan.

“Sebagai restoran keluarga pilihan ramai, McDonald’s cukup berbangga dapat membantu program yang dijalankan RMHC. Kami akan terus komited untuk menyokong organisasi ini selaras usaha kami dalam menyumbang kepada komuniti di mana kami beroperasi ,” katanya.

Bersama-sama 30 sukarelawan McDonald’s Malaysia dan ahli RMHC, kanak-kanak itu turut dibawa membeli-belah untuk mendapatkan baju raya di AEON Equine Park dan seterusnya dijamu dengan makan tengah hari di restoran McDonald’s berhampiran.

Rumah Anak Yatim Sungai Kantan turut menerima sumbangan bernilai RM5,000 daripada RMHC Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara untuk menyumbang dan menjadi sebahagian sukarelawan RMHC, layari www.rmhc-malaysia.my atau http://www.mcdonalds.com.my/.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 12:04pm
d